PENGURUS Liverpool, Jurgen Klopp tidak ambil peduli tentang 'permainan kotor' yang dipamerkan oleh pasukannya selepas menang menentang Atletico Madrid 3-2 dalam saingan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) pada Rabu.
Skuad bimbingan Klopp berjaya mencatat kemenangan pertama menentang Atletico dalam saingan UCL menerusi sepakan penalti Mohamed Salah pada minit ke-78.
Salah dan Naby Keita meledak gol buat Liverpool dalam tempoh 13 minit pertama permainan namun Atletico kembali menyamakan kedudukan menerusi dua jaringan Antoine Griezmann pada minit ke-20 dan 34.
Malang buat Atletico apabila Griezmann dilayangkan kad merah pada minit ke-52 selepas kakinya terkena wajah penyerang Liverpool, Roberto Firmino.
"Ia merupakan perlawanan yang sukar, secara jujurnya bagaimana kami menang tidak penting. Kemenangan secara 'kotor' adalah paling penting.
"Apabila kami beraksi baik, kami akan memperoleh kemenangan tetapi pada malam seperti ini, tiga mata sangat penting.
"Kami memang menjangkakan perlawanan ini sukar. Kami terkejut mampu beraksi dengan baik, kami menjaringkan dua gol yang cantik dan bermain baik sepanjang separuh masa kedua," ujar Klopp.
Kemenangan itu melonjakkan Liverpool ke tangga teratas kumpulan B dengan sembilan mata manakala Atletico di tangga kedua dengan empat mata. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram