SELEPAS menegur sikap seorang jurulatih yang sering membuat lawak berbaur lucah, Datuk Pandelela Rinong mendakwa turut dibuli individu berkenaan.
Mendedahkan perkara itu, ratu terjun negara itu berkata, setiap kali jurulatih itu membuat lawak sedemikian, beliau hanya mendiamkan diri atau pura-pura ketawa kerana bimbang dan berasa takut.
"Pernah sekali, tidak tahan, saya tegur dia, tetapi kena buli balik. Tujuh tahun kemudian, dia (jurulatih) buat (didakwa) kes rogol.
"Tetapi paling sedih, dalam tujuh tahun itu dia buat hal setiap tahun. Tetapi kami atlet tidak boleh buat apa, sebab 'back up' besar dia adalah ketua jurulatih kami sendiri," dakwanya dalam ciapan di laman Twitter pada Khamis.
Hantaran di laman Twitter Pandelela Rinong.
Justeru, Pandelela yang juga pemenang pingat Perak Olimpik Rio 2016 itu berkata, pengajaran yang boleh diambil daripada kisahnya itu adalah keperluan pemimpin yang boleh membetulkan perkara yang salah dan bukannya menutup mata kepada kejahatan atau jenayah.
"Mereka yang dianiaya mesti bersuara! Suara kecil tetap penting sekiranya kita bersatu," jelasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram