PENGURUS Liverpool, Jurgen Klopp berpendapat Mohamed Salah adalah pemain terbaik di dunia setelah membantu The Reds meraih kemenangan 5-0 ketika menentang Watford dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Vicarage Road pada Sabtu.
Pemain antarabangsa dari Mesir itu menjaringkan gol menakjubkan selepas membawa bola secara solo melepasi pertahanan Watford sebelum meledak jaringan yang sukar dijangka oleh Ben Foster.
Salah kini telah mencetak 10 jaringan bagi Liverpool musim 2021/22 ini.
Pemain berusia 29 tahun itu membuatkan Klopp yakin bahawa dia adalah yang terbaik di dunia ketika ini, jauh lebih hebat berbanding Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi.
"Siapa yang lebih hebat daripada Salah. Kita tidak perlu berbicara tentang apa yang telah dilakukan Messi dan Ronaldo untuk bola sepak dunia dan penguasaan mereka.
"Selain aspek itu, dia (Salah) adalah yang terbaik. Persembahannya sangat hebat.
"Hantaran untuk gol pertama hebat dan gol kedua cukup istimewa. Salah menempatkan dirinya di tangga teratas. Kita semua menyaksikannya," katanya.
Selain Salah, Roberto Firmino turut melakar hatrik sementara Sadio Mane juga tidak ketinggalan meletakkan nama selaku penjaring ketika berdepan Watford.
Berhubung prestasi pasukannya ketika berdepan Watford, Klopp berkata, para pemain memperlihatkan kualiti permainan yang sangat bagus walaupun hanya menjalani satu sesi latihan sebelum ini.
"Bagus, saya tidak boleh mengatakan sebaliknya. Selepas berehat, agak sukar untuk mencari rentak setelah bermain dalam sistem berbeza, namun mereka menunjukkan prestasi sebaliknya," kata Klopp.
Sementara itu, Salah enggan memikirkan mengenai gol jaringannya semasa menentang Watford dan Manchester City, namun mengakui dia bermain dengan keyakinan tinggi.
"Saya hanya mencuba. Kadang-kadang tidak bernasib baik, namun saya hanya berusaha memberikan 100 peratus daripada apa yang saya ada.
"Pada masa sama, saya tetap yakin. Saya menjaringkan gol, membantu pasukan memenangi mata dan ini yang paling penting," tambahnya. — Agensi