Arulselvaraj kurang berpuas hati disiplin pemain


  • Podium
  • Ahad, 10 Okt 2021

ARULSELVARAJ yakin kemenangan menentang Wales mampu perbaiki ranking skuad hoki kebangsaan. — Agensi
KETUA jurulatih skuad hoki lelaki kebangsaan, A. Arulselvaraj kurang berpuas hati dengan disiplin ditampilkan pasukan bimbingannya ketika pertemuan menentang Wales dalam Siri Jelajah United Kingdom (UK) 2021 yang dimenangi oleh Speedy Tigers 4-3 pada Sabtu.

Ujarnya dalam satu kenyataan dikeluarkan Konfederasi Hoki Malaysia pada Ahad, mereka akan menilai kembali kesilapan dilakukan pasukannya dalam aksi berkenaan menerusi sesi analisis video.

Dalam perlawanan tersebut, beberapa pemain kebangsaan mengutip tiga kad hijau dan satu kad kuning.

Pada perlawanan terbabit, Wales terlebih dahulu membuka tirai jaringan pada minit kelima menerusi pukulan strok oleh Joseph Naughalty sebelum pakar pukulan sudut penalti negara, Muhammad Razie Abd Rahim kembali menyamakan kedudukan 1-1 selepas menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-14.

Skuad negara kembali di depan 2-1 pada minit ke-26 apabila Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi memanfaatkan kelebihan pukulan sudut penalti namun Wales mengikat kedudukan pada minit ke-44 menerusi gol, juga dari pukulan sudut penalti oleh Gareth Furlong.

Faizal Saari kemudian meletakkan Malaysia kembali di depan seminit kemudian menerusi gol padang dan terus melebarkan kedudukan apabila Shello Silverius menambah jaringan keempat, juga menerusi gol padang pada minit ke-54.

Seakan perlawanan berkesudahan dengan kedudukan 4-2, Wales yang dihadiahkan dengan pukulan strok tidak mensia-siakan kelebihan itu apabila Joseph menyumbat gol kedua peribadinya pada minit ke-60 untuk perlawanan tamat dengan keputusan akhir 4-3.

Menurut Arulselvaraj, kemenangan tersebut mampu membantu pasukannya untuk terus memperbaiki ranking dunia

"Kekuatan pasukan negara adalah kelajuan dan kami akan membawa keyakinan yang ada ini untuk perlawanan seterusnya,” katanya.

Skuad kebangsaan kini menghuni tangga ke-11 ranking dunia Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH).

Sementara itu, Faizal bersyukur kerana menemui prestasi sebenar beliau termasuk sentuhan untuk menjaringkan gol dalam perlawanan semalam yang disifatkannya satu pencapaian positif untuk dirinya.

Skuad kebangsaan sekali lagi akan berdepan Wales dalam perlawanan ujian keempat pada Rabu ini pukul 3.15 pagi waktu Malaysia. — Majoriti