Speedy Tigers sekali lagi jinakkan Wales di UK


  • Podium
  • Rabu, 13 Okt 2021

ARULSELVARAJ memberitahu skuad kebangsaan telah mencapai matlamat untuk belajar beraksi serta memenangi perlawanan dalam situasi tertekan. — The Star

SPEEDY Tigers mengaum garang selepas sekali lagi berjaya menundukkan Wales 3-1 pada Siri Jelajah United Kingdom (UK) 2021 di Kelab Hoki Reading pada Selasa.

Ia merupakan kemenangan kedua berturut-turut bagi skuad hoki lelaki kebangsaan dalam perlawanan ujian keempat (terakhir) siri jelajah berkenaan.

Pengurus pasukan, A. Arulselvaraj memberitahu, kemenangan tersebut sekali gus mencapai matlamat skuad kebangsaan untuk belajar beraksi serta memenangi perlawanan dalam situasi tertekan.

"Ia adalah kemenangan yang bermakna dan berbaloi kerana bukan sahaja pasukan negara terpaksa berdepan dengan cuaca yang mencabar (sejuk dan hujan) tetapi kami juga terpaksa melalui perjalanan tiga jam untuk sampai ke venue perlawanan.

"Bagaimanapun, pengalaman itu mendidik pasukan untuk sentiasa fokus walaupun berdepan apa jua dugaan, malah mereka juga belajar untuk bermain dan menang meskipun dalam keadaan tertekan," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Sementara itu, kemenangan yang dikecapi skuad hoki negara juga merupakan satu pencapaian yang sangat bermakna buat pemain muda negara, Muhammad Shafiq Hassan.

"Kemenangan ini bukan sahaja suatu kenangan manis tetapi ia juga menaikkan semangat saya untuk terus memberikan yang terbaik buat skuad senior lelaki kebangsaan," ujarnya yang membuat penampilan pertama bersama skuad Speedy Tigers.

Dalam perlawanan itu, pemain kelahiran Terengganu, Faizal Saari muncul wira apabila meledak dua gol selang seminit.

Dia melakar prestasi cemerlang itu menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-17 dan jaringan padang pada minit ke-18.

Wales merapatkan jurang dengan menjaringkan gol melalui pukulan sudut penalti pada minit ke-58 menerusi Ioan Wall.

Namun kelegaan Wales itu hanya sementara selepas Muhammad Razie Abd Rahim kembali menjarakkan kedudukan apabila menyumbat gol ketiga negara menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-59.

Terdahulu, Speedy Tigers menang tipis 4-3 ke atas Wales dalam perlawanan yang berlangsung pada Sabtu.

Selain dua kemenangan ke atas Wales, Malaysia turut merekod satu kemenangan serta tewas sekali menentang Ireland, dalam keseluruhan empat perlawanan ujian di United Kingdom.

Malaysia akan meneruskan siri jelajah berkenaan apabila dijadual berdepan Perancis dalam perlawanan persahabatan pada Jumaat bermula 7 malam (waktu Malaysia) di Pusat Hoki Wales.

Dalam pada itu, Skuad Projek Khas Lelaki Kebangsaan juga meraih kemenangan kedua dalam Siri Jelajah United Kingdom 2021 dengan menumpaskan skuad bawah 21 tahun England, 5-4 pada aksi yang berlangsung di Bisham Abbey, pada Selasa. — Majoriti