Masa depan Bruce cetus tanda tanya


  • Podium
  • Isnin, 18 Okt 2021

BRUCE dikatakan tidak popular dalam kalangan penyokong Newcastle United yang mahu dirinya dipecat. — Agensi

PENGURUS Newcastle United, Steve Bruce kini berdepan masa depan yang tidak pasti selepas era baharu kelab terkaya di bawah pemilik baharu dari Arab Saudi itu tidak bermula seperti yang diharapkan.

Keterujaan peminat Newcastle United untuk menyaksikan kelahiran semula kelab itu juga tidak kesampaian selepas mereka dikecewakan Tottenham Hotspur dengan kekalahan 2-3 di St James' Park pada malam Ahad.

Kekalahan itu mengekalkan Newcastle United dalam zon penyingkiran Liga Perdana Inggeris (EPL) tanpa sebarang kemenangan liga musim ini manakala Spurs berjaya membaiki kedudukan dengan menempatkan diri di tempat kelima.

Ramai yang mengharapkan konsortium pemilik Newcastle United supaya segera menamatkan perkhidmatan Bruce sebagai salah satu strategi perniagaan.

Berdepan tekanan berhubung masa depannya di bawah pemilik baharu, bekas kapten Manchester United itu bagaimanapun berkata, dia akan meneruskan perkhidmatan sebagai pengurus melainkan diberitahu sebaliknya.

"Saya akan tunggu hingga mereka putuskan. Kita lihat apa yang akan dikatakan," ujar Bruce yang mengambil alih permainan ke-1000 dalam karier pengurusannya.

Bagaimanapun, pemain berusia 60 tahun itu jelas tidak popular dalam kalangan penyokong Newcastle United.

Harapan peminat memuncak di Tyneside selepas suntikan dana oleh Saudi Public Investment Fund (PIF) untuk mengubah nasib Newcastle United dalam saingan liga utama Inggeris itu.

Gabenor PIF Yassir Al-Rumayyan diberikan sambutan seperti wira oleh 55,000 penyokong Newcastle United ketika diperkenalkan sebelum sepak mula.

Kemeriahan itu disusuli dengan permulaan sempurna pasukan tuan rumah yang mendahului permainan menerusi tandukan Callum Wilson seawal minit kedua.

2.63119685

Callum Wilson meraikan gol awal di depan penyokong Newcastle United.

Al-Rumayan meraikan jaringan berkenaan dengan pemilik bersama Amanda Staveley, yang membeli 10 peratus saham kelab berkenaan dan menjadi jurucakap dalam usaha pengambil alihan kelab sejak setahun lalu.

Skuad pelawat kendalian Nuno Espirito Santo bagaimanapun menyamakan kedudukan menerusi Tanguy Ndombele pada minit ke-17.

Penyerang Spurs, Harry Kane kemudiannya meledak gol sulungnya dalam saingan liga musim ini untuk meletakkan Tottenham di depan. Kapten England itu pada awalnya dikatakan ofsaid tetapi ulang tayang VAR menunjukkan sebaliknya.

Perlawanan terpaksa dihentikan 20 minit selepas pemain Tottenham memberitahu pengadil ada kecemasan di tempat duduk penonton di mana salah seorang penyokong Newcastle memerlukan rawatan.

Permainan kemudiannya disambung semula dengan corak permainan kekal untuk baki tujuh minit babak pertama.

Di babak kedua, Kane membuat umpanan untuk gol ketiga Spurs yang disempurnakan Son Heung-min. Newcastle United berjaya merapatkan kedudukan selepas pertahanan lawan, Eric Dier tertampan bola ke gawang sendiri namun ia tidak cukup untuk menjamin kemenangan tuan rumah. — Agensi