Jaringan saat akhir Mohamad Akhimullah selamatkan Malaysia


  • Podium
  • Jumaat, 15 Okt 2021

Wallace Tan akui kagum dengan semangat juang pasukannya dalam mencari gol penyamaan. — MHC Facebook
SKUAD remaja hoki lelaki Malaysia terselamat daripada tewas di tangan pasukan bawah 23 Scotland selepas seri 1-1 dalam Siri Jelajah United Kingdom 2021, pada Selasa apabila apabila Mohamad Akhimullah Anuar Esook berjaya membuat jaringan seminit sebelum perlawanan tamat.

Ketua Jurulatih Skuad Projek Khas Lelaki Kebangsaan, Wallace Tan akui kagum dengan semangat juang pasukannya dalam mencari gol penyamaan sehingga minit-minit terakhir dalam perlawanan yang berlangsung di Clydesdale Hockey and Cricket Club itu.

"Dalam perlawanan hari ini (semalam) kami bermain dengan baik juga walaupun kami terlebih dahulu ketinggalan 0-1.

"Sehingga minit terakhir, pemain masih terus berjuang dan mereka dapat menyamakan kedudukan 1-1. Ini satu pembelajaran yang cukup baik untuk pasukan kami pada malam ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Menerusi perlawanan tersebut, Mohamad Akhimullah menyumbang gol penyamaan pada minit ke-59 selepas Scotland membuka tirai jaringan pada minit ke-10 menerusi pukulan sudut penalti.

Skuad remaja kebangsaan dijadual bertemu lawan sama esok pada pukul 1.30 pagi (waktu Malaysia) bagi melengkapkan aksi terakhir yang merupakan perlawanan kelapan mereka di United Kingdom. — Majoriti