MALAYSIA menyasarkan untuk muncul juara kumpulan dan menundukkan Jepun menjelang perlawanan terakhir pada aksi Piala Thomas di Arena Ceres, Aarhus, Denmark pada Khamis.
Perkara itu dinyatakan pemain beregu lelaki negara, Aaron Chia.
Menurutnya, meskipun sudah berjaya mara ke peringkat suku akhir selepas mengalahkan Kanada pada Rabu, pasukan negara tidak akan ambil mudah pertemuan dengan Jepun.
"Kami akan cuba buat yang terbaik untuk memastikan berjaya menjadi juara untuk peringkat kumpulan.
"Kita masih ada tugas untuk menundukkan Jepun dalam perlawanan terakhir kumpulan," katanya.
Tambahnya lagi, dia mengakui cabaran getir untuk menewaskan beregu Jepun itu namun akan tampil dengan persembahan terbaik di atas gelanggang.
"Kami akan cuba yang terbaik dan tidak akan berputus asa untuk meraih mata buat Malaysia dan menumpaskan Jepun," ujarnya.
Terdahulu dalam dua pertemuan terakhir Malaysia dan Jepun pada aksi Piala Sudirman menyaksikan skuad negara tewas pada peringkat kumpulan dan di peringkat separuh akhir awal bulan ini.
Gandingan Aaron dan Soh Wooi Yik berjaya menewaskan beregu utama Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi pada perlawanan peringkat kumpulan namun tewas pada aksi separuh akhir. — Sinar Harian