PENYERANG naturalisasi, Guilherme de Paula diharap dapat bangkit menampilkan rentak permainan lebih positif kepada skuad Harimau Malaya selepas prestasinya dikritik hebat penyokong bola sepak tempatan.
Pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe berkata, beliau masih menaruh harapan kepada de Paula masih mampu meyakinkan barisan kejurulatihan sebelum saingan Piala AFF 2020 di Singapura nanti.
“Kami perlu melihat terlebih dulu mengenai de Paula. Kalau semua okey, kami akan bawa dia (bagi menghadapi Piala AFF 2020). Namun, semuanya masih dalam penelitian dan perbincangan.
“Mungkin pada Piala AFF kali ini dia boleh menyinar, kita tidak tahu. Namun, saya mengharapkan dia dapat bangkit dan memberikan aksi terbaik bersama Harimau Malaya,” katanya.
Sebelum ini, de Paula dikritik hebat susulan prestasinya yang dikatakan tidak mencapai standard sebenar ketika membarisi skuad Harimau Malaya pada Pusingan Kedua Kelayakan Piala Asia 2023 di Dubai Jun lalu.
Pemain kelahiran Brazil berusia 34 tahun itu turut dikecam hebat susulan prestasi hambarnya dalam dua aksi persahabatan menentang Jordan dan Uzbekistan baru-baru ini.
Rata-rata peminat bola sepak tempatan menyifatkan persembahan de Paula tidak seperti yang diharapkan selepas Malaysia memberikan taraf kewarganegaraan kepada pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) itu.
Malah, penyokong Harimau Malaya juga mahu de Paula digugurkan daripada skuad Harimau Malaya bagi menghadapi tugasan pada Piala AFF 2020 dan Pusingan Ketiga Kelayakan Piala Asia 2023 pada tahun depan.
Mengulas lanjut, Cheng Hoe berkata, beliau berharap kritikan yang dilemparkan peminat dan penyokong bola sepak tempatan itu akan menjadi motivasi kepada de Paula untuk memperbaiki prestasinya.
“Saya memahami kehampaan peminat dan setiap pemain kalau tak perform akan dikritik. Tetapi dalam beberapa kekalahan pasukan negara sebelum ini, de Paula sendiri mengakui dia dikritik dengan teruk.
“De Paula juga beritahu saya, dia akan ambil kritikan itu sebagai satu iktibar dan semangat. Dia juga berjanji tidak akan berputus asa untuk mencuba dengan pasukan negara.
“Jadi saya pun berharap dalam keadaan tertekan ini, dia masih boleh terus positif dan bermotivasi untuk memberikan yang terbaik kepada pasukan negara nanti,” ujarnya. — Sinar Harian