STATUS masa depan Datuk Rashid Sidek sebagai jurulatih badminton para negara masih menjadi tanda tanya sehingga kini.
Rashid, yang kontraknya tamat pada hujung tahun ini memaklumkan beliau masih belum berbincang bersama Majlis Sukan Negara (MSN) berhubung penyambungan kontrak untuk tahun depan.
"Saya mungkin akan mengadakan perbincangan bersama MSN bulan depan mengenai status kontrak sebagai jurulatih para,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis perasmian Hari Sukan Negara 2021 di Putrajaya pada Sabtu.
Pemenang gangsa Sukan Olimpik Atlanta 1996 yang mula menjadi jurulatih badminton para negara sejak 2019 itu berkata, beliau sememangnya bersedia mencurah bakti sekiranya khidmatnya masih diperlukan MSN.
Jurulatih berusia 53 tahun itu juga berharap dapat mencari pelapis jaguh badminton para negara, Cheah Liek Hou yang boleh diketengahkan untuk membawa cabaran negara pada temasya sukan besar atau kejohanan utama badminton para dunia pada masa depan.
Rashid merupakan watak penting dalam membantu jaguh perseorangan bagi kategori SU5 (kecacatan fizikal) Liek Hou melakar sejarah menjadi pemain pertama negara merangkul pingat emas badminton yang pertama kali disenaraikan di Sukan Paralimpik di Tokyo, Jepun bulan lalu.
Liek Hou yang merupakan pemain nombor dua dunia itu menewaskan musuh ketatnya, Dheva Anrimusthi dari Indonesia, 21-17, 21-15 pada aksi yang berlangsung di Yoyogi National Stadium, Tokyo, dalam temasya sukan berprestij itu.Legenda badminton negara itu pada masa sama memberitahu sedang giat melatih Liek Hou bagi menghadapi temasya dan kejohanan utama seperti Sukan Para Asia 2022 di Hangzhou, China dan Kejuaraan Dunia pada tahun depan.
Sementara itu, Liek Hou menaruh harapan agar MSN dapat menyambung kontrak Rashid sehingga Sukan Paralimpik Paris 2024 di Perancis, tiga tahun dari sekarang.Memandangkan tiada kejohanan bakal ditempuhinya untuk baki saingan tahun ini, pemain berusia 33 tahun itu sedang berusaha keras dalam sesi latihan bagi memantapkan permainannya untuk tahun depan selain mahu mencuba meraih emas di Sukan Para Asia 2022. — Bernama