Benzema tambah kekuatan Perancis


  • Sukan
  • Khamis, 07 Okt 2021

MARTINEZ pastinya mahu skuad Belgium menebus kekalahan di tangan Perancis ketika Piala Dunia 2018 menjelang pertemuan pada Jumaat. — Reuters

JURULATIH Belgium, Roberto Martinez mengakui skuad Perancis ketika ini lebih baik berbanding sewaktu menjadi juara Piala Dunia pada 2018.

Jelas Martinez, kehadiran semula penyerang Real Madrid, Karim Benzema ke dalam pasukan Perancis membuatkan barisan Les Bleus bertambah baik.

"Mereka turut memiliki beberapa pemain muda yang bagus. Kylian Mbappe juga sudah menunjukkan perkembangan berbanding tiga tahun lalu.

"Mereka mempunyai minimum tiga pemain di setiap posisi. Jadi saya fikir, Didier Deschamps (jurulatih Perancis) akan setuju dengan saya bahawa skuadnya lebih bagus berbanding tiga tahun lalu," katanya.

Belgium dan Perancis akan bertemu pada perlawanan separuh akhir UEFA Nations League pada Jumaat.

Perlawanan pada Jumaat merupakan pertemuan ke-75 bagi kedua-dua pasukan di semua kejohanan antarabangsa.

Berdasarkan rekod, Belgium berjaya mencatatkan 30 kemenangan, 19 seri dan 25 kali tewas pada Perancis.

Pada Piala Dunia 2018, Belgium tewas kepada Perancis di peringkat separuh akhir hasil jaringan tunggal pemain pertahanan, Samuel Umtiti. — Agensi