Trofi MJHL jadi buruan 25 pasukan


  • Podium
  • Selasa, 05 Okt 2021

ANIL Jeet Singh pada sidang media di Stadium Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Selasa. — Bernama

SEBANYAK 25 pasukan bakal bersaing bagi merebut kejuaraan saingan Liga Hoki Remaja Malaysia (MJHL) 2021 yang akan berlangsung dari 25 November hingga 2 Januari 2022.

Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Seri Dr Anil Jeet Singh berkata, lapan pasukan akan bersaing dalam divisyen satu manakala 17 pasukan berentap dalam divisyen dua.

Antara pasukan yang mengesahkan penyertaan adalah MBPJ Tigers, BJSS Thunderbolts, SSTMI Juniors dan Anderson Thunderbolts.

Satu proses undian akan dijalankan sebelum saingan bermula bagi menentukan kedudukan pasukan dalam kedua-dua divisyen kejohanan itu.

"Pecahan jumlah pasukan yang akan beraksi pada divisyen satu serta divisyen dua telah diputuskan oleh Jawatankuasa Pertandingan KHM pada mesyuarat terdahulu.

"Jawatankuasa juga telah melantik Vinod Anand dari Persatuan Hoki Kuala Lumpur sebagai Pengarah Kejohanan yang dibantu dua Penolong Pengarah Kejohanan,” katanya pada sidang media di Kuala Lumpur pada Selasa.

Tambah beliau, KHM akan membenarkan kehadiran penonton yang lengkap divaksin ke stadium menyaksikan saingan itu sekiranya mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa.

Ujarnya, perkara tersebut termasuk penetapan prosedur operasi standard (SOP) bakal dibincangkan pada mesyuarat jawatankuasa akan datang.

"Seperti bola sepak pun sudah ada penonton, lain-lain aktiviti pun sama. Kalau kerajaan, MKN (Majlis Keselamatan Negara), KBS (Kementerian Belia dan Sukan) dan MSN (Majlis Sukan Negara) bagi lampu hijau, kita akan benarkan tetapi dengan penjarakan fizikal dan ia dipantau,” jelasnya.

Sementara itu, Anil Jeet Singh mengumumkan pelantikan Anant Kaur dari Persatuan Hoki Selangor sebagai Pengarah Kejohanan bagi Piala Tun Abdul Razak 2021 sekali gus menjadi wanita pertama diberikan kepercayaan melaksanakan tugas itu.

Katanya, pelantikan Kaur yang bakal dibantu dua penolong pengarah kejohanan adalah sebagai penghormatan kepada barisan pegawai wanita tempatan terlibat dalam sukan hoki.

Dalam pada itu, jumlah penyertaan pasukan bagi saingan Piala Tun Abdul Razak 2021 yang dijadualkan berlangsung pada 10 hingga 20 Nov ini hanya akan diketahui selepas tarikh akhir pengesahan penyertaan pada Isnin depan. — Bernama

Anil Jeet Singh, KHM, MJHL, Covid-19, Hoki