LEGENDA tinju, Mike Tyson yang kembali semula ke gelanggang berhasrat untuk menentang YouTuber terkenal, Logan Paul dalam aksi seterusnya.
Peninju yang mendapat gelaran 'Iron Mike' itu mendedahkan bahawa dia mahu bertarung dengan Paul kerana keuntungan lumayan yang boleh diperoleh dari pertarungan terbabit.
"Baiklah, ia adalah pertarungan yang lumayan. Perlawanan seperti itu menghasilkan banyak wang.
"Orang-orang seperti itu (Logan dan Jake Paul) mampu menarik 75 juta penonton untuk menyaksikan mereka.
"Ia akan (menjadi pertarungan yang baik), dan akan menghasilkan banyak wang," kata Tyson.
Tyson kemudian menyatakan bahawa dia akan melawan Paul dengan harga 100 juta dolar (RM418 juta), dan menegaskan jumlah berkenaan tidak mungkin ditolak oleh kedua-dua pihak.
"100 juta dolar? Mereka akan melakukan apa sahaja," kata Tyson.
Tyson membuat kemunculan semula di gelanggang tinju pada November 2020 dengan menentang Roy Jones Jr, manakala bagi Logan Paul, pertarungan itu mungkin menjadi yang pertama sejak menentang Floyd Mayweather dalam aksi lapan pusingan pada Jun lalu. — Agensi