Harimau Malaya mampu lakar kejutan jika tidak kerap buat kesilapan


  • Podium
  • Selasa, 05 Okt 2021

AIDIL Zafuan optimis kejutan itu mampu direalisasikan untuk meraih sekurang-kurangnya keputusan seri.

SETIAP pemain skuad Harimau Malaya perlu elak daripada kerap melakukan kesilapan dalam mencipta kejutan menentang Jordan dan Uzbekistan pada dua aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 di Amman, Jordan bulan ini.

Kapten skuad kebangsaan Mohamad Aidil Zafuan Abd Radzak optimis kejutan itu mampu direalisasikan untuk meraih sekurang-kurangnya keputusan seri.

Beliau berkata tugas lebih berat dipikul barisan pertahanan skuad kebangsaan sebagai benteng terakhir pasukan sekali gus mengingatkan setiap pemain yang akan diturunkan berupaya memberikan fokus sepenuhnya.

"Saya mengharapkan dan ingatkan diri sendiri yang kita tak boleh buat banyak kesilapan. Kesilapan akan ada dalam setiap perlawanan, cuma kita perlu tidak terlampau melakukannya.

"Sebab apabila bertemu pasukan seperti ini (Jordan dan Uzbekistan) kita selalu membuat kesilapan dan mereka akan hukum kita (pasukan) dengan jaringan. Kalau kita kurangkan kesilapan kita boleh mendapat sekurang-kurangnya seri,” katanya.

Selain itu, Mohamad Aidil meminta rakan sepasukannya agar tidak terlalu memikirkan mengenai kekuatan pasukan lawan.

Beliau berkata sesetengah pemain akan berasa gugup dan tertekan apabila terlampau memikirkan mengenai pasukan lawan sekali gus akan menjejaskan perancangan pasukan.

"Bagi saya yang penting adalah pasukan saya sendiri dan rakan-rakan bagaimana kita boleh fokus untuk 90 minit dalam permainan. Sebagai pemain kita buat kerja kita di padang, ikut segala taktikal permainan Insya-Allah tak timbul sebarang masalah bila menentang mereka,” katanya.

Malaysia yang menduduki ranking ke-154 dunia akan berdepan Jordan (ke-93 dunia) di Stadium King Abdullah II di Amman pada 11 malam esok, dan Uzbekistan (ke-84 dunia) di Stadium Antarabangsa Amman, 9 Okt.

Jordan berjaya melakar kemenangan 1-0 ketika berdepan anak buah Cheng Hoe dalam pertembungan terakhir kedua-dua pasukan pada aksi persahabatan antarbangsa Tier 1 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Ogos 2019. — Majoriti

Aidil Zafuan, Harimau Malaya, Jordan