'Chelsea cuma bernasib baik menang'


  • Podium
  • Isnin, 04 Okt 2021

WERNER kembali menemui sentuhan penyudah ketika berdepan Southampton selepas sering ketandusan gol sebelum ini. — Agensi

PENYERANG Chelsea, Timo Werner mengakui bahawa pasukanya hanya bernasib baik ketika menewaskan Southampton 3-1 dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stamford Bridge pada Sabtu.

Ia berikutan pemain tengah Southampton, James Ward-Prowse dilayangkan kad merah oleh pengadil, Martin Atkinson yang meneliti rakaman VAR pada 15 minit sebelum perlawanan berakhir gara-gara terjahan keras terhadap Jorginho.

Kata Werner, ia sekali gus menggoyahkan barisan pertahanan pasukan lawan yang sukar ditembus Chelsea sebelum itu.

"Kami agak bertuah kerana mereka menerima kad merah. Ini membuka banyak ruang untuk kami.

"Chelsea segera mendapat lebih banyak peluang kerana kelebihan itu dan memanfaatkan masa enam minit terakhir untuk menambah satu gol sumbangan Ben Chilwell," katanya.

The Blues menang 3-1 dalam perlawanan tersebut hasil jaringan Trevoh Chalobah seawal minit kesembilan, selain Werner dan Chilwell turut meletakkan nama selaku penjaring pada minit ke-84 dan 89 sementara gol saguhati pasukan pelawat dicetak oleh James Ward-Prowse pada minit ke-61.

Namun jelas Werner, secara keseluruhannya dia mengakui bahawa rakan-rakan sepasukannya telah melakukan yang terbaik untuk memperoleh kemenangan itu.

Dengan kemenangan itu, Chelsea kini mengumpul 16 mata selepas tujuh perlawanan dan akan berkunjung ke Brentford minggu depan sebelum melayan kunjungan Malmo dalam aksi Liga Juara-Juara pada 21 Oktober. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram