Speedy Tigers akhiri 'kemarau' kemenangan di bumi UK


  • Podium
  • Sabtu, 02 Okt 2021

ARULSELVARAJ puji corak permainan ditampilkan skuad hoki negara pada pertemuan menentang Beeston H.C pada Sabtu. — Agensi

PAKAR pukulan sudut penalti negara, Muhammad Razie Abd Rahim mencipta nama sebagai wira skuad hoki kebangsaan apabila menjaringkan hatrik sewaktu membenam kelab England, Beeston H.C 3-1 pada Siri Jelajah United Kingdom 2021 pada awal pagi Sabtu.

Muhammad Razie menyumbang jaringan menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-12, ke-35 dan ke-42 manakala Beeston H.C pula meraih gol sagu hati pada minit ke-18.

Kemenangan itu sekali gus menamadkan 'kemarau' kemenangan skuad hoki negara dalam tiga perlawanan sebelum ini pada siri jelajah tersebut.

Terdahulu, skuad negara hanya mampu merekod dua keputusan seri dan satu tewas kepada pasukan berstatus kelab itu.

"Kami memperoleh empat pukulan sudut penalti dan Muhammad Razie menjaringkan tiga daripadanya, sementara pihak lawan memperoleh lima pukulan sudut penalti.

"Dari segi perlawanan, pemain mengawal permainan dengan baik, lebih teratur dan bermain dalam tempoh perlawanan yang agak tinggi. Kemenangan pada Sabtu juga akan menaikan semangat pemain kerana ini aksi terakhir bertemu kelab di United Kingdom (UK),” kata ketua jurulatih, A. Arulselvaraj dalam kenyataan pada Sabtu.

Sementara itu, pemain tengah kebangsaan, Meor Muhammad Azuan Hassan menyifatkan kemenangan diraih skuad negara adalah pemangkin semangat buat mereka menghadapi empat perlawanan ujian selepas ini.

"Syukur Alhamdulillah, ini kemenangan pertama kami menentang pasukan kelab England dan kami akan menjadikan kemenangan ini sebagai persediaan bagi bertemu Ireland dan Wales. Perlawanan sebelum ini kami berjaya jaringkan gol menerusi gerakan padang dan ia sesuatu yang baik.

"Kali ini pula kami menjaringkan gol menerusi pukulan sudut penalti dan tiga gol tersebut cukup baik untuk kami kerana keseimbangan dalam menjaringkan gol dapat dilihat dan kami akan melakukan persediaan lebih lagi untuk bertemu Ireland dan Wales,” ujarnya.

Berbaki enam perlawanan dalam siri jelajah itu, Speedy Tigers akan berdepan cabaran pasukan kebangsaan Ireland, Wales dan Perancis dengan empat daripadanya adalah berstatus perlawanan ujian.

Menurut Arulsevaraj, skuad negara akan bertolak ke Ireland pada Sabtu untuk berdepan skuad tuan rumah yang dijadual berlangsung pada 6 Oktober. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram