Karius tidak sanggup dihimpit mimpi buruk, mahu segera keluar Liverpool


  • Podium
  • Jumaat, 01 Okt 2021

KARIUS mahu segera keluar daripada mimpi buruk untuk beraksi secara kompetitif. — Agensi

PENJAGA gol Liverpool, Loris Karius yang mengalami kecederaan bahu mahu keluar daripada pasukan itu sebelum musim panas akan datang.

Bagaimanapun, pemain berusia 28 tahun itu mahu fokus kepada proses pemulihan dan berharap mampu kembali menjalani latihan selepas rehat antarabangsa.

Selepas kembali pulih, Karius dijangka memulakan perbincangan mengenai masa depannya ketika dia hampir pasti mahu menamatkan ‘mimpi buruk’ di Liverpool.

“Saya tersisih selama enam minggu dan akan cuba kembali berlatih selepas liga berehat.

“Kita akan lihat apa yang akan berlaku pada musim sejuk nanti. Objektif saya adalah terus berada di gawang setiap minggu.

Karius langsung tidak bermain secara kompetitif bersama Liverpool sejak 2018 ekoran aksi buruknya di final Liga Juara-Juara menentang Real Madrid.

Pada perlawanan itu, Karius jelas mengharungi mimpi buruk dan sudah pun meminta maaf kepada penyokong Liverpool atas apa yang berlaku.

Tempatnya digantikan dengan Alisson dan kehadiran penjaga gol itu membantu Liverpool memenangi Liga Perdana Inggeris, Piala Kelab Dunia Fifa dan Piala Eropah.

Sebelum ini Karius dipinjamkan ke Union Berlin dan dikaitkan untuk berpindah ke Basle namun tiada kata sepakat dicapai.

Sementara itu, jurulatih penjaga gol Liverpool, John Achterberg berkata, kelab itu tidak pernah menyalahkan Karius atas kesilapan dilakukannya ketika final Liga Juara-Juara.

“Anda harap penjaga gol mengurangkan kesilapan. Karius lakukan kesilapan di final menentang Real Madrid?

“Kamu menang sama-sama, kamu kalah pun sama-sama. Saya tidak katakan sesuatu yang negatif mengenainya,” kata Achterberg. — Agensi

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI