ADAKAH Liga Malaysia (Liga M) akan menghasilkan seorang lagi pemenang Anugerah Puskas?
Persoalan itu mungkin timbul berikutan jaringan menarik pemain import Sabah, Park Taesu menerusi sepakan percuma ketika mengikat PJ City 1-1 dalam aksi pertama Piala Malaysia di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Isnin lalu.
Jaringan pada babak pertama itu jelas beri keterujaan peminat bola sepak tempatan malah turut menarik perhatian daripada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa).
Fifa memuatnaik video jaringan itu di laman sosial Twitternya.
"Selepas perlawanan itu, ada rakan yang berseloroh bahawa jaringan itu boleh tersenarai dalam Anugerah Puskas.
“Apabila saya bangun pagi tadi, rakan-rakan dan pihak pengurusan memaklumkan kepada saya bahawa jaringan itu dikongsikan dalam ciapan FIFA.
Jaringan Park Taesu dapat perhatian Fifa
"Kalau boleh saya mahu jaringan itu ke Anugerah Puskas kerana saya mahu mengetahui sama ada ia mampu atau tidak,” kata Taesu.
Menceritakan semula detik sepakan itu dilakukan, Taesu berkata, dia cukup bernasib baik kerana rakan sepasukannya memberikan peluang kepadanya untuk melakukan percubaan.
"Saya berbincang dengan Levy (Madinda) untuk mengambil sepakan itu, dia berkata 'Oppa jangan, ia terlalu jauh'.
“Dia mahu mengambilnya tetapi N Thanabalan meyakinkan saya untuk mengambil sepakan itu. Sebelum menendang bola itu, saya fikir mahu melakukan sepakan 'knuckle' (lencong).
“Tetapi ia terlalu jauh, jadi saya hanya menendang sekuat hati dan ia masuk ke gawang, itu sahaja,” katanya
Sebelum ini, Faiz Subri muncul pemain pertama dari negara ini yang memenangi Anugerah Puskas pada 2016. – Stadium Astro
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram