Tips kawal emosi ketika berdepan pemain 'noob'


  • eSports
  • Jumaat, 24 Sep 2021

KAWALAN emosi yang tidak stabil akan menyebabkan fokus anda ketika bermain permainan video terganggu. — Agensi

DALAM dunia permainan video terdapat satu golongan yang menjadi perhatian iaitu 'noob'.

'Noob' merupakan istilah bagi pemain yang baru belajar atau serba tidak tahu tentang mekanisme sesuatu permainan video berkenaan.

Golongan itu tentunya merupakan satu 'kelemahan' sekiranya mereka bermain dalam satu pasukan dengan anda.

Tambahan pula, sekiranya punca kekalahan anda adalah daripada golongan 'noob'. Ini beberapa cara untuk anda mengawal situasi daripada kalah sehingga meraih kemenangan.

1. Kawalan emosi

Jika anda bermain permainan video, kawalan emosi ini menjadi satu elemen yang paling penting untuk anda kuasai.

Seorang pemain itu akan lebih cenderung melakukan kesilapan kerana faktor emosi. Apabila manusia berada dalam emosi marah, peratusan untuk berfikir dengan waras akan berkurang.

Jadi apabila rakan sepasukan anda yang dikategorikan sebagai ‘noob’ itu melakukan kesilapan, anda harus menasihatinya dan mengajarnya apa yang perlu dilakukan.

Keadaan tidak akan bertambah baik apabila anda marah kerana pemain itu akan merasa tertekan dengan desakan anda serta corak permainan menjadi lebih kucar kacir.

2. Terapkan mentaliti 'ini cuma sekadar permainan video'

Setiap orang tidak ingin kalah dan hanya ingin mengecapi kemenangan. Tetapi kekalahan itu adalah satu asbab untuk kita bangkit kembali menjadi pemain yang lebih hebat dari masa ke masa.

Perlu anda ingat bahawa permainan video ini hanyalah sebuah permainan dan ia tidak perlu diambil serius sehingga menyebabkan pergaduhan.

Jika sifat ini berjaya diterapkan dalam setiap perlawanan, pasti anda akan lebih tenang dan sabar membimbing pemain ‘noob’ ini.

3. Semua orang lahir sebagai 'noob'

Tidak ada seorang pun pemain yang mula bermain satu perlawanan dan terus menjadi seorang profesional.

Semua orang akan bermula dari seorang ‘noob’ sehingga menjadi seorang yang mahir. Anda harus bersedia memaafkan mereka dan mengimbau kembali perjalanan anda ketika mula bermain dahulu.

Pasti anda akan tersenyum dan boleh bermain dengan lebih fokus.

4. Bawa pasukan ke arah kemenangan

Pasukan anda mula kalah di dalam perlawanan yang berlaku dan anda ketinggalan dari segi skor untuk mengejar pihak lawan?

Situasi ini mampu diubah jika anda mengamalkan tiga tips di atas dan juga memperbetulkan posisi dan cara anda menghadapi musuh. Peratusan anda untuk menang akan meningkat sebanyak 50 peratus jika anda tahu apa anda sedang buat dan berupaya membawa pasukan anda ke arah kemenangan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

noob, permainan video, emosi, marah