KETUA Pegawai Operasi Sarawak United, Shauqi Ajwadi Roshidi mengesahkan pihaknya akan mengemukakan rayuan kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) khususnya terhadap hukuman yang dikenakan kepada pegawainya, Rudy Bujang.
Namun, di sebalik penggantungan bermula dua perlawanan hingga enam bulan dan denda keseluruhan berjumlah RM43,000, Shauqi mengakui tindakan pasukannya pada aksi bertemu Negeri Sembilan FC (NSFC) itu tidak dapat diterima.
"Rudy adalah kitman kami dan kami akan memfailkan rayuan kerana dia berdepan kesukaran untuk menyelesaikan denda RM10,000. Kami harap FAM dapat mengurangkan denda itu.
"Untuk E Elavarasan, ini adalah kesalahan pertamanya. Bagaimanapun, kami perlukan penjelasan mengenai hukuman yang dijatuhkan oleh FAM itu. Kami akan membincangkan mengenai perkara ini sebelum memutuskan sebarang tindakan selanjutnya," katanya.
Pemain dan pegawai Sarawak menyerang pengadil ketika aksi menentang Negeri Sembilan, 10 September lalu. — Facebook
Minggu lalu, dua pemain dan pegawai skuad The Crocs yang didapati menyerang pengadil selepas aksi Liga Perdana menentang NSFC menerima padah apabila digantung dua perlawanan sehingga enam bulan oleh Jawatankuasa Tatatertib FAM.
Dua pemain Sarawak United, Mohammad Amer Saidin dikenakan hukuman penggantungan dua perlawanan dan denda sebanyak RM2,000 sementara Mohd Badrul Affendy Mohd Fadzli pula didenda RM4,000 serta digantung empat perlawanan.
Dua pegawai Sarawak United, Abang Fomay Abang Sa'adeli pula digantung dua perlawanan dan denda RM10,000 manakala Rudy pula digantung enam bulan serta denda RM10,000.
Dalam perkembangan sama, Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Datuk Baljit Singh Sidhu turut mengesahkan penjaga gol Sarwak United, Mohd Sharbinee Allawee Ramli berdepan tiga pertuduhan sekali gus menyaksikan dia digantung lima perlawanan dan didenda RM7,000.
Namun, pengendalinya, Elavarasan yang membuat kenyataan semasa temuramah selepas perlawanan bernasib baik kerana walaupun didenda RM10,000 penggantungan selama 12 bulan yang dikenakan ditangguhkan terlebih dahulu tertakluk kepada kelakuan baiknya selama 12 bulan. — Berita Harian
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram