MFL bertindak ikut 'buku'


  • Podium
  • Rabu, 08 Sep 2021

PEMAIN Kelantan meraikan kejayaan menewaskan Negeri Sembilan 2-1 pada 27 Ogos lalu. — Facebook/Kelantan FC

MALAYSIAN Football League (MFL) sudah pun bertindak secara adil mengikut peraturan yang tertera dalam Manual Liga Malaysia 2021.

Demikian pendapat peribadi bekas pengadil kebangsaan, Ahmad Khalidi Supian berhubung isu pertukaran pemain yang dilakukan Kelantan ketika menewaskan Negeri Sembilan 2-1 pada 27 Ogos lalu.

Walaupun ada yang mendesak kemenangan 3-0 perlu diberikan kepada Negeri Sembilan, Pengajar Kecergasan Pengadil Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) itu beranggapan adalah tidak wajar untuk Ahli Lembaga Pengarah MFL mengikut desakan itu kerana keputusan pengadil pada perlawanan itu adalah muktamad.

"Keputusan telah dibuat dan mengikut peraturan yang termaktub di dalam Manual Liga Malaysia 2021. Jadi, saya fikir MFL telah melaksanakan tugas sebagai pengendali Liga Malaysia (Liga M).

“Setiap keputusan dibuat jelas dirujuk kepada perkara-perkara dalam peraturan pertandingan, Manual Liga Malaysia 2021.

“Saya tidak fikir MFL berat sebelah dan seperti saya katakan tadi, mana-mana organisasi akan merujuk kepada perlembagaan mereka dan dalam kes ini sudah pasti MFL akan menggunakan Manual Liga Malaysia bagi menilai setiap kes yang berlaku.

“Sejujurnya saya belum pernah berdepan situasi seperti ini tetapi secara peribadi kebiasaannya keputusan pengadil di dalam perlawanan adalah muktamad dan perkara bantahan adalah satu perkara yang berlainan,” katanya.

Sebelum ini, Kelantan dikatakan membuat pertukaran lima pemain sebanyak empat kali dan MFL mengesahkan pihaknya telah menerima surat bantahan daripada Negeri Sembilan FC bertarikh 30 Ogos.

Negeri Sembilan FC meminta MFL dengan menggunakan Artikel 2.1.3, Peraturan Pertandingan, Manual Liga Malaysia 2021 untuk menilai kesalahan yang dilakukan Kelantan.

Bagaimanapun, merujuk semula kepada manual Liga M, Artikel 5.3.2 menyebut bantahan tidak boleh dibuat terhadap keputusan mengenai perkara-perkara fakta yang telah diputuskan oleh pengadil di venue perlawanan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Kelantan, Negeri Sembilan, pengadil, Liga M