PEMILIK Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengakui kecewa dengan sikap segelintir penyokong kelab itu yang mempertikai kemampuan skuad Harimau Selatan ekoran persembahan hambar dalam Liga Juara-Juara Asia (ACL) musim ini.
Menurut Tunku Ismail, tindakan penyokong itu bagaikan tidak menghargai segala pengorbanan yang dilakukannya dalam menaikkan reputasi Harimau Selatan menjadi kelab yang digeruni di pentas bola sepak tempatan.
"Sebagai contoh, pada tahun 2018 saya nak tinggalkan bola kerana ia makan banyak masa dan financial constraints kerana saya gunakan duit saya sendiri pada ketika ada penaja yang tarik diri.
"Bagi saya, duit itu sepatunya digunakan memberikan keutamaan sekuriti kepada anak, cucu cicit saya pada masa akan datang. Kadang-kadang kita sebagai manusia perlu rasa dihargai.
"Saya cakap terus terang selepas game ACL JDT tahun ini, saya terasa lain kerana penyokong JDT dah lupa dari mana kita datang, apa itu kejayaan dan di mana kita berada hari ini berbanding pada ketika kita bermula.
"Pada pandangan saya sebagai seorang manusia, apabila awak lupa benda-benda itu dan awak akan ada satu sikap yang tidak bersyukur. Bagi saya, setiap perjalanan kalah atau menang belakang kira.
"Tengoklah kejayaan-kejayaan yang dah ada. Pembangunan yang ada dan itu perlu dibanggakan dan dihargai. Apabila kita tidak boleh hargai perkara-perkara positif itu.
"Saya pun cakap kepada diri saya, buat apa saya nak membazir duit untuk orang-orang yang tak hargai semua ini," katanya dalam satu temubual rancangan Bola@Mamak pada Isnin.
JDT mengakhiri perjuangan mereka di pentas ACL musim ini dengan berada di kedudukan ketiga Kumpulan G selepas mengumpul empat mata selepas mengharungi enam perlawanan di Bangkok, Thailand.
Untuk rekod, JDT tewas dalam kedua-dua perlawanan berdepan kelab Korea Selatan, Pohang Steelers serta wakil Jepun, Nagoya Grampus dan hanya meraih kemenangan serta keputusan seri menentang Ratchaburi FC.
Tunku Ismail turut menegur sikap penyokong yang bersifat 'tahu segala-galanya' dalam dunia bola sepak termasuk mendesak JDT menukar jurulatih, Benjamin Mora selepas kegagalan JDT di pentas ACL.
"Ada yang kata tukar coach, sikit-sikit tukar coach. Dapat keputusan seri pun suruh tukar coach. Ini coach dah menang tiga title. Jadi kalau dia dah menang kejuaraan tiga tahun berturut-turut kenapa kita kena tukar?
"Ooh, sebab nak main ACL level dia lain? Apa yang awak tahu pasal level ACL? Awak datang daripada industri bola sepak? Saya tahu apa yang kita perlukan. Bukan kita tidak pernah kalahkan team ACL, kita pernah.
"Bagi pandangsan saya, jika kereta sedang bergerak baik di lebuh raya, jangan berhenti tepi jalan tukar enjin. Kalau kita tidak boleh terima kekalahan dengan pasukan ACL, awak ingat JDT ini apa? Manchester United, Manchester City, Barcelona? tidak.
"Kita kelab yang kecil bukan kelab yang besar jika nak dibandingkan dengan Al Hilal, Al Ahly atau pasukan dari Jepun. Mereka telah buat projek yang kami buat baru-baru ini, mereka telah buat bertahun dulu. Ini 20 tahun dulu punya cerita," ujarnya. — Sinar Harian
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram