PEMENANG pingat emas badminton perseorangan lelaki kategori SU5 Sukan Paralimpik Tokyo 2020, Cheah Liek Hou akan mendermakan sebahagian wang ganjaran yang bakal dimenanginya kepada badan-badan kebajikan.
Liek Hou berkata, sebelum berangkat ke Tokyo, dia berjanji kepada dirinya untuk berbuat demikian jika berjaya memenangi pingat emas pada temasya Paralimpik berkenaan.
Liek Hou bakal menerima ganjaran keseluruhan berjumlah RM1.1 juta, RM1 juta yang dijanjikan menerusi Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) selain ganjaran tambahan berjumlah RM100,000 daripada FWD Takaful.
“Saya memang merancang berkongsi hadiah kemenangan kerana bagi saya, rezeki daripada Tuhan sememangnya patut kita kongsi bersama, saya percaya, apabila dikongsikan rezeki bersama-sama, rezeki seseorang itu akan bertambah.
“Oleh itu, sebelum ke Paralimpik Tokyo, saya sudah berjanji, selepas saya menang pingat emas, saya akan keluarkan sikit untuk disedekahkan kepada badan-badan kebajikan sama ada kepada golongan kurang upaya (OKU), rumah orang-orang tua, rumah anak yatim atau kepada petugas barisan hadapan dan sebagainya.
“Bagaimanapun, setakat ini saya belum menentukan ke pihak manakah wang ganjaran itu akan didermakan,” katanya kepada Sinar Harian.
Liek Hou menewaskan pemain nombor satu dunia, Dheva Anrimusthi dari Indonesia 21-17, 21-15 dalam perlawanan akhir di Stadium Kebangsaan Yoyogi, pada Sabtu.
Mengenai perancangannya selepas ini, Liek Hou berkata, dia bakal beraksi pada Kejohanan Badminton Para Dunia 2021 yang dijadualkan berlangsung di Tokyo pada akhir Oktober depan.
“Secara tentatifnya, kejuaraan ini akan tetap berlangsung tetapi saya tidak berani untuk berikan kepastian kerana ia juga berdasarkan kepada situasi semasa Covid-19, yang boleh menyebabkannya dibatalkan,” katanya.
Sementara itu, jurulatih Liek Hou, Datuk Rashid Sidek berkata, permain tersebut akan menjalani latihan seperti biasa.
Katanya, biarpun Kejohanan Badminton Para Dunia 2021 yang dijadualkan pada akhir Oktober nanti belum diketahui statusnya, latihan yang diadakan penting dalam usaha memastikan Liek Hou sentiasa bersedia dan berada dalam keadaan cergas.
“Kita akan teruskan latihan macam biasa. Kejohanan terdekat iaitu Kejohanan Badminton Para Dunia 2021 pun kita tidak tahu apakah ia berlangsung atau tidak.
“Apa pun, yang penting, kita mahu memastikan Liek Hou sentiasa dalam keadaan bersedia,” katanya. — Sinar Harian
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram