Bersihkan PAFA, Perak FC daripada cengkaman ahli politik


  • Podium
  • Isnin, 06 Sep 2021

PENYOKONG gesa kesemua ahli politik untuk lepaskan jawatan sama ada di dalam PAFA atau PERAK FC. — The Star

SEMUA ahli politik perlu melepaskan jawatan mereka di dalam Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) mahupun Perak FC.

Demikian gesaan penyokong bola sepak Perak rentetan skuad kesayangan mereka terjerumus ke saingan Liga Primier musim depan.

Presiden Gabungan Persatuan Penyokong Bolasepak Perak (Perak FC MOBS), Syamsul Baharin Putra Ahmad Shibi berkata, keberadaan ahli politik di dalam badan induk bola sepak negeri ini dan pengurusan pasukan menyebabkan fokus mereka terhadap pentadbiran pasukan tidak dapat dilakukan dengan baik.

Beliau berkata, mereka tidak dapat menggalas tanggungjawab dengan baik mungkin disebabkan sebahagian mereka terdiri daripada golongan pemimpin parti-parti politik yang terlibat di dalam ketidakstabilan politik semasa dan sentiasa berubah-ubah ketika ini.

"Oleh sebab itu, kami di peringkat persatuan dan kelab-kelab penyokong serta peminat bola sepak Perak yang sentiasa setia bersama pasukan Perak berasakan sudah tiba masanya Perak FC mahupun PAFA dilepaskan oleh pihak-pihak yang mempunyai kepentingan politik dari mengurus tadbir kedua-dua institusi berkenaan. Silalah letak jawatan.

"Kami mahu ada pihak yang betul-betul minat dan mampu mengalas tanggungjawab terhadap pengurusan dan kewangan untuk pasukan Perak. Ini kerana sukan bola sepak ini merupakan satu-satunya sukan rakyat yang menyatukan rakyat Perak tanpa mengambil kira ideologi politik," katanya dalam satu kenyataan akhbar pada Isnin.

Syamsul Baharin berkata, peletakan jawatan Exco Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia Perak, Khairul Shahril Mohamed dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Pongsu, Datuk Sham Mat Sahat sebagai Ahli Lembaga Pengarah Perak FC sahaja juga tidak cukup.

Ini kerana menurut beliau, desakan agar ahli politik meninggalkan PAFA dan Perak FC wajar berdasarkan kepincangan yang berlaku dalam pengurusan pasukan Perak pada musim ini.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau menyembah cadangan agar Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bersama Ahli Dewan Negara Perak, Datuk Seri Mohd Annuar Zaini supaya campur tangan bagi membantu urus tadbir pengurusan PAFA dan Perak FC kelak.

Menurutnya, jika terdapat pihak korporat yang mahu mengambil alih kepimpinan Perak FC juga perlu diberi peluang sedemikian.

Pada Isnin, Khairul Shahril dan Sham mengesahkan peletakan jawatan mereka sebagai Ahli Lembaga Pengarah Perak FC. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

PAFA, Perak FC, letak jawatan