SUKA atau tidak, perjalanan hebat Perak sepanjang 18 musim di Liga Super akhirnya sudah pun menemui penghujungnya apabila terjerumus ke Liga Premier musim depan.
Paling perit pastinya buat peminat pasukan itu dan agak sukar untuk membayangkan musim 2021 menjadi malapetaka buat pasukan yang menyambut ulang tahun ke-100 penubuhan pasukan bola sepak negeri itu.
Antara punca yang menjadi bahan bualan peminat pastinya menjurus kepada kemelut dalaman pasukan yang dipalit dengan berita tunggakan gaji hingga menyaksikan ramai tonggak angkat kaki.
Bagi pengurusan dan barisan kejurulatihan, ia tidak wajar disesali dan apa yang berlaku harus menjadi titik tolak kepada kebangkitan semula skuad The Bos Gaurus.
“Pemain dan juga pegawai begitu kecewa dengan kekalahan ini (tewas 2-1 kepada Melaka United) hingga terus menutup ruang untuk kekal beraksi di Liga Super.
“Saya harap kami akan bangkit semula. Kami perlu buat sesuatu untuk kembalikan pasukan ke Liga Super,” kata pengendali Perak, Shahrulnizam Mustafa.
Ketika ini Perak menghuni tangga ke 11 Liga Super, mengutip 13 mata hasil tiga kemenangan dan empat kali seri.
Persoalan kini turut timbul dikalangan peminat bola sepak negeri itu, adakah pemain utama dan berpengalaman akan terus kekal bersama pasukan.
“Kami hilang 80 peratus pemain utama dan kami hanya bermain dengan pemain muda yang kurang pengalaman di pentas Liga Super.
“Merekamasih belum matang. Mereka miliki kualiti dan saya percaya mereka akan bangkit,” katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram