Willian berpatah arang, berkerat rotan dengan Arsenal


  • Podium
  • Ahad, 29 Ogos 2021

WILLIAN dalam perjalanan pulang ke Brazil untuk beraksi bersama Corinthians. — Agensi

JODOH pemain sayap, Willian bersama Arsenal akhirnya ternoktah selepas disahkan akan kembali semula ke Brazil sekali gus menyertai kelab Corinthians dalam tempoh kurang 48 jam akan datang.

Bekas pemain Chelsea itu dilaporkan telah 'mengoyakkan' kontrak tiga tahun yang ditandatanganinya bersama Arsenal tahun lalu gara-gara tidak lagi gembira di Stadium Emirates, selain dikecam hebat penyokong The Gunners.

Willian nekad membuat keputusan itu selepas mengadakan perbincangan dengan pengarah teknikal Arsenal, Edu.

Pada masa sama, meskipun masih memiliki baki dua tahun kontrak, Arsenal dikatakan tidak dapat mengekalkan Willian untuk musim panas akan datang berikutan gaji pemain berusia 32 tahun itu yang terlalu tinggi.

Perpindahan Willian ke Corinthians khabarnya dapat memberikan penjimatan kepada Arsenal sebanyak £ 15 juta (RM86.62 juta) hingga 20 juta (RM115.49 juta) susulan penamatan awal kontraknya.

Willian menyertai The Gunners menerusi perpindahan percuma pada musim panas lalu berikutan penamatan kontraknya bersama Chelsea.

Ketika itu, Chelsea dikhabarkan masih mahu mengekalkan khidmat Willian namun kerana faktor usia dia hanya ditawarkan untuk menyambung kontrak selama dua tahun.

Willan juga pernah berada dalam radar Inter Miami sebelum disambar Arsenal namun dibelenggu prestasi kurang konsisten apabila sekadar mencetak lapan gol dalam 35 penampilannya musim lepas. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Willan, Arsenal, Corinthians, Chelsea, Pindah