Nur Syaiful terlepas pingat Paralimpik


  • Podium
  • Ahad, 29 Ogos 2021

NUR SYAIFUL masih mempunyai satu lagi peluang memperoleh pingat dalam acara 50m gaya bebas lelaki S5 Rabu ini.— Bernama

MALAYSIA sekali lagi kehilangan satu peluang untuk memperoleh pingat di temasya Sukan Paralimpik Tokyo 2020 selepas penyertaan perenang paralimpik kebangsaan, Muhammad Nur Syaiful Zulkafli dalam peringkat saringan acara 100 meter (m) kuak dada lelaki SB4 (kecacatan fizikal) dibatalkan atas isu teknikal.

Menamatkan saingan di tempat ketiga dalam saringan pertama di Pusat Akuatik Tokyo sebelum ini, Nur Syaiful terpaksa akur dengan hakikat bahawa pembatalan itu menjadi titik noktah terhadap perjuangannya untuk mara ke final.

Mengesahkan perkara berkenaan, Pengarah Bahagian Paralimpik Majlis Sukan Negara (MSN), Mohd Sofian Hamzah memberitahu, penyertaan Nur Syaiful dibatalkan susulan satu lagi kesilapan teknikal ketika berenang.

Menurutnya atlet itu didapati tidak naik ke permukaan air dalam jarak 15 meter awal sewaktu membuat kuakan.

Dalam acara itu, perenang dari Jawatankuasa Paralimpik Rusia, Dmitrii Cherniaev memenangi saringan itu dengan mencatat 1 minit 33.42 saat (s), diikuti rakan senegaranya Aleksandr Molkov (1:44.37s) dan ketiga pula milik Francesco Bocciardo dari Itali (1:51.11s).

Hanya lapan perenang terbaik daripada dua saringan dijalankan mara ke peringkat akhir.

Terdahulu, Nur Syaiful mengalami nasib serupa apabila penyertaannya dalam saringan pertama acara 200m gaya bebas lelaki S5 (kecacatan fizikal) dibatalkan gara-gara isu teknikal pada Rabu lepas.

Penyertaannya dibatalkan selepas dia didapati menampal pita pelekat di bahu kirinya bagi mengurangkan kesakitan yang dialami sejak seminggu lalu.

Bagaimanapun, Nur Syaiful masih mempunyai satu lagi peluang bagi membuktikan dirinya apabila dijadual turun semula ke kolam air dalam acara 50m gaya bebas lelaki S5 (kecacatan fizikal) Rabu ini.

Di sebalik berita sedih tersebut, Nur Syaiful berjaya memecah rekod peribadi 100m gaya bebas lelaki S5 (kecacatan fizikal) dalam peringkat akhir dengan mencatat masa 1:15.12s, khamis lalu.

Dia sekali gus memadam catatan peribadi terdahulu iaitu 1:15.39 di London, United Kingdom pada 2019.

Nur Syaiful, merupakan wakil negara untuk acara renang mengalami kecacatan di kedua-dua belah kakinya selepas terlibat dalam kemalangan pada usia 17 tahun. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram