
Bvlgari, jenama mewah ikonik dari Rom, Itali, hari ini mengukir satu lagi sejarah penting apabila secara rasmi merasmikan kemudahan pembuatan barang kemasnya yang telah diperluaskan di daerah Valenza.
Lebih daripada sekadar pembesaran fizikal, projek ini melambangkan dedikasi Bvlgari terhadap inovasi, kelestarian dan kesinambungan kemahiran tukang emas Itali yang telah menjadi teras kepada identiti Made in Italy.
Dengan tambahan hampir 19,000 meter persegi, fasiliti ini kini meliputi keluasan 33,000 meter persegi dan dijangka mengambil lebih 500 tukang emas baharu menjelang tahun 2029.
BACA LAGI: Penanda masa buat wanita elegan, hasil paduan emas dan keluli mewah
BACA LAGI: 5 gaya karpet merah paling menarik di Oscars 2025
Pembukaan ini bukan sahaja mewujudkan peluang pekerjaan untuk generasi kini dan akan datang, tetapi juga mengukuhkan kedudukan Valenza sebagai nadi kepada kemahiran seni tukang emas Itali.
“Manifattura Bvlgari di Valenza mencerminkan visi holistik jenama yang tanggungjawab terhadap alam sekitar, pemindahan ilmu dan kebajikan pekerja, yang mana kesemuanya berjalan seiring,” ujar Ketua Pegawai Eksekutif Bvlgari, Jean-Christophe Babin.
Kompleks baharu Bvlgari ini menyatukan seni, budaya dan semangat kecemerlangan selain memacu definisi baharu kepada dunia kemewahan.
Kelestarian menjadi inti kepada setiap aspek projek ini. Operasi pembesaran dijalankan hampir sepenuhnya secara neutral karbon, dengan penggunaan tenaga boleh diperbaharui sebagai sumber utama.
Dengan pembukaan fasa baharu ini, Bvlgari bukan sahaja mengukuhkan kedudukan sebagai peneraju dunia dalam bidang barang kemas mewah, tetapi juga sebagai penjaga kepada warisan di masa depan.
Dari tradisi ke masa depan
Bukan itu sahaja, kompleks baharu ini juga menempatkan Scuola Bvlgari, pusat pendidikan pertama Bvlgari yang dibuka kepada orang awam dan khusus dalam bidang barang kemas.
Dengan keluasan 1,000 meter persegi, sekolah ini menjadi simbol komitmen jenama terhadap pemindahan ilmu dan pewarisan kemahiran pertukangan Itali kepada generasi muda.
Disediakan dengan kerjasama TADS (Tarì Design School), Scuola Bvlgari menawarkan kursus profesional dalam pertukangan emas dan penyetelan batu permata menggunakan mikroskop.
Pelajar bukan sahaja mempelajari teknik tradisional, malah didedahkan kepada pendekatan moden dalam menghasilkan karya barang kemas bertaraf dunia.
Scuola Bvlgari turut melengkapi Bvlgari Jewelry Academy, yang sejak 2017 menjadi tempat latihan utama untuk pekerja baharu jenama ini.
Kedua-dua inisiatif ini menjadikan Manifattura Bvlgari satu ekosistem unik, tempat di mana seni, warisan, dan inovasi berpadu dalam keharmonian yang luar biasa.
Sejak mula dibuka pada 2017 dengan hanya 370 pekerja, Manifattura Bvlgari kini menggaji lebih 1,100 individu daripada lebih 30 latar belakang kebangsaan, lantas menjadikannya satu pusat kecemerlangan antarabangsa yang meriah dan pelbagai budaya.
Dengan sasaran untuk mencapai lebih 1,600 kakitangan menjelang 2029, Bvlgari terus melabur dalam bakat dan semangat artisan yang menjadi nadi kepada warisan Itali.
Projek ini membuktikan bahawa Made in Italy bukan sekadar label, tetapi satu falsafah hidup yang menggabungkan seni ketukangan unggul, rasa hormat kepada tradisi dan visi untuk sebuah dunia yang lebih lestari.
Sebagai lambang kecemerlangan dan kemewahan Itali, Bvlgari terus membina masa depan dengan akar umbi yang kukuh pada nilai-nilai asalnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram