Pulau di Vietnam tawar pengalaman percutian penuh keajaiban, seni bina persis Eropah jadi tarikan


  • Relaks
  • Khamis, 06 Mac 2025

Saksikan panorama indah kota yang menyerupai bandar-bandar lama Eropah.

Terletak di pulau terbesar Vietnam, Phu Quoc, merupakan destinasi pelancongan yang semakin mendapat tempat dalam kalangan rakyat Asia Tenggara, khasnya pelancong Malaysia.

Dengan senibina buatan yang cantik mirip kota-kota tersohor di Eropah, Phu Quoc tampil dengan ajnas tarikan untuk semua. Antaranya, Grand World dan Taman Tema Vinwonders adalah dua tarikan yang paling menarik buat pelancong yang mencari pengembaraan, budaya, dan pengalaman yang tidak dapat dilupakan.

BACA LAGI: Bekerja sambil melancong, potensi perkembangan industri bleisure di Malaysia

BACA LAGI: Fikiran jadi 'beku' lepas tinggalkan dunia korporat, bekas akauntan ambil lesen tubuh agensi pelancongan

Sama ada anda pemburu keseronokan, peminat budaya, atau seseorang yang mencari hiburan mesra keluarga, kedua-dua tarikan ini menjanjikan perjalanan ajaib melalui dunia hiburan, sejarah, dan pemandangan yang menakjubkan.

Taman tema menjadi ruang liburan yang cukup serba-serbi, selain membeli belah, pengunjung boleh menyaksikan pelbagai pameran dan pertunjukan budaya. 

Ciri yang paling jelas di tarikan ini ialah bangunan yang direka mengikut struktur Eropah, memberikan suasana yang berbeza persis bandar-bandar besar seperti Venice, Milan, dan Lisbon.

Ini juga menjadikannya tempat yang indah untuk mengabadikan foto dan video sebagai kenangan.

Grand World penuh keajaiban

Kompleks hiburan bertaraf dunia ini begitu luas, menggabungkan kemodenan Eropah dengan pesona Vietnam. Dikenali sebagai 'bandar yang tidak pernah tidur', ia benar-benar hidup kerana suasananya sentiasa meriah dengan pelbagai aktiviti pelancongan dan masyarakat setempat. 

Dari jalan membeli-belah, tinggal menginap di hotel mewah hingga berlibur menyaksikan pameran budaya, Grand World adalah tempat di mana pengunjung datang untuk meneroka, dan mengagumi kecantikan seni serta seni bina.

Salah satu tarikan utama ialah perjalanan gondola ikonik, yang mana tetamu boleh menikmati pemandangan landskap sekeliling yang luar biasa.

Sambil menaiki gondola, anda akan dihiburkan oleh penyanyi dan penari berbakat yang membuat persembahan secara langsung.

Kostum berwarna-warni dan tarian masquerade menghiburkan mencipta suasana mempesona, membuatkan anda rasa seperti melangkah ke dalam cerita dongeng.

Taman ini juga menempatkan Muzium Teddy Bear. Pengunjung ibarat melangkah masuk ke dalam dunia ajaib beruang teddy bersaiz besar yang pasti mengujakan terutamanya untuk kanak-kanak. 

Pertunjukan cahaya dan bunyi

Apabila malam tiba, keseronokan berterusan dengan projeksi cahaya dan bunyi luar biasa yang mengubah malam menjadi kaleidoskop warna, muzik serta visual menakjubkan.

Seni bina sekitar kawasan ini menjadi latar belakang, persembahan di waktu malam menerbitkan aura mistik. 

Pertunjukan The Quintessence of Vietnam menampilkan persembahan yang mempamerkan warisan Vietnam serta  intipati kehidupan rakyat dan mitologi Vietnam.

Taman tema penuh pengembaraan

Berhampiran dengan Grand World, Taman Tema Vinwonders adalah destinasi pilihan keluarga yang popular.

Taman ini menawarkan pelbagai tarikan yang mengagumkan yang sesuai untuk semua peringkat umur.

Pengunjung boleh merentas pelbagai kawasan bertema yang membawa mereka ke pelbagai sudut dunia.

Bagi mereka yang suka adrenalin, taman ini menawarkan beberapa permainan yang paling mengujakan seperti roller coaster.

Namun, tarikan utama pastinya adalah persembahan duyung yang berlangsung di akuarium utama. Persembahan ini menampilkan penghibur meluncur di bawah air dengan kostum duyung dengan latar belakang makhluk laut yang indah.

Pengunjung juga boleh menikmati makan tengah hari yang menyenangkan dengan akuarium yang menakjubkan di latar belakang. Terdapat hidangan ikan dan sayuran buat tamu yang beragama Islam.

Pelancong Muslim juga mempunyai pilihan restoran halal seperti restoran Sri Mutiara dan Halal Sunset Town Phu Quoc yang menawarkan hidangan Vietnam Halal yang lazat. 

Restoran Halal turut dilengkapi dengan kawasan untuk solat yang juga berfungsi sebagai tempat untuk solat Jumaat.

Ada beberapa pihak berwibawa yang mengelola pengembaraan mesra-Muslim di Vietnam. Antaranya adalah Mhd Amin Tourism yang memang terkenal kesahihannya kerana ia dinaungi warga Vietnam asli berbangsa Melayu-Champa yang juga penganut Islam sejati. 

Ramai dalam kalangan mereka mendapat pendidikan Islam di institusi-institusi Malaysia.

Pulau ini juga menawarkan banyak pilihan penginapan dari yang sangat bergaya hingga yang paling mampu milik. 

Pilihan penulis adalah Hotel Labe yang baru dibuka di Sunset Town. Lokasi strategik membolehkan anda berjalan pada waktu petang menikmati seni bina yang mengingatkan pada bandar-bandar Eropah.

Bagi mereka yang mencari pengalaman yang tidak dapat dilupakan di Phu Quoc, wajib singgah ke Grand World dan Vinwonders. Dengan gabungan hiburan, budaya, dan kecantikan semula jadi, ia destinasi terbaik kerana beraneka pengembaraan menanti. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, Instagram daTelegram