Perkhidmatan 'nanny mobile', pengasuh daftar menerusi aplikasi, berisiko atau alternatif terbaik untuk anak-anak?


  • Massa
  • Selasa, 25 Feb 2025

Ibu bapa perlu lebih bijak dalam memilih pengasuh yang akan mengambil tugas sementara untuk menjaga anak-anak. — Gambar hiasan/Freepik

PERKHIDMATAN jagaan anak dari rumah ke rumah atau nanny mobile kini semakin popular dalam kalangan ibu bapa yang mencari alternatif kepada penjagaan anak di taska.

Walaupun memberi kemudahan dalam aspek masa dan fleksibiliti, perkhidmatan ini turut menimbulkan kebimbangan mengenai keselamatan dan pengalaman pengasuh.

Aainaa Mokhti, 31, ibu kepada dua orang anak berusia enam dan empat tahun, memilih untuk menggunakan perkhidmatan tersebut kerana fleksibiliti.

BACA LAGI: Puasa Sabtu atau Ahad terjawab, tarikh lihat anak bulan Ramadan ditetapkan 28 Februari

BACA LAGI: Ada pihak 'buat duit', raih untung besar hingga RM15,000 jual semula lot bazar Ramadan di KL

Haliza

Menurut Aainaa, perkhidmatan ini memberi fokus yang lebih peribadi kepada anak-anaknya berbanding taska yang mengasuh lebih ramai kanak-kanak dalam satu masa.

"Saya pilih perkhidmatan jagaan ini sebab taska hanya beroperasi dari Isnin hingga Jumaat dan mereka pula jaga ramai budak sekali berbanding nanny mobile," katanya kepada Majoriti.

Sebelum menggunakan perkhidmatan ini, Aainaa pernah menghantar anak-anaknya ke taska dan tadika yang berdaftar di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

"Saya pastikan taska tersebut mesti bawah JKM dan mempunyai aplikasi yang boleh mengemas kini aktiviti anak-anak di taska," tambahnya.

Namun, Aainaa mendapati bahawa nanny mobile lebih sesuai digunakan ketika luar waktu kerja. Katanya, dia hanya menggunakan perkhidmatan tersebut untuk waktu malam atau hujung minggu apabila taska tidak beroperasi.

Mengambil kira keselamatan anak-anaknya, Aainaa mempertimbangkan beberapa faktor semasa menilai pengasuh yang diupah.

"Setiap kali nak menggunakan khidmat nanny mobile, akan ada beberapa calon hantar resume mereka dalam aplikasi. Dari situ saya nilai siapa yang benar-benar layak dan selamat untuk jaga anak saya," ujarnya.

Sementara itu, pengusaha sebuah taska di Shah Alam, Selangor, Haliza Karim, menyuarakan kebimbangan terhadap keselamatan dan pemilihan pengasuh dalam perkhidmatan nanny mobile.

Tegasnya, keselamatan anak-anak adalah keutamaan dan pengasuh mempunyai kelayakan sahaja diambil bekerja.

"Taska kami beroperasi di bawah akta yang ketat. Kami perlu mengikuti peraturan ditetapkan oleh JKM dan hanya mengambil pekerja berkelayakan dan berpengalaman dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak," kata Haliza.

Berbeza dengan nanny mobile yang menggunakan aplikasi untuk memilih pengasuh, Haliza merasakan bahawa latar belakang pengasuh dalam perkhidmatan ini mungkin tidak dipantau dengan sebaiknya.

Sesetengah ibu bapa menyifatkan perkhidmatan jagaan anak dari rumah ke rumah lebih fleksibel. — Gambar hiasan/Freepik

"Memandangkan ia melalui aplikasi, jadi saya rasa perkenalan diri dengan ibu bapa tidak berapa jelas sebab masing-masing baru kenal dan dia (ibu bapa) sudah percaya untuk meninggalkan anak kepada penjaga walaupun untuk tempoh dua hingga tiga jam sahaja," jelasya.

Dengan lebih 20 tahun pengalaman sebagai pengusaha taska, Haliza turut menyatakan bahawa pemilihan pengasuh oleh ibu bapa melalui aplikasi tanpa pemantauan ketat boleh menimbulkan risiko kepada keselamatan anak-anak kecil.

Justeru, ibu bapa perlu lebih bijak dalam memilih pengasuh yang akan mengambil tugas sementara untuk menjaga anak-anak.

"Kita tak boleh buat ia macam bidan terjun yang boleh sesuka hati pilih sesiapa sahaja untuk jaga anak. Tidak mengetahui apa-apa risiko akan berlaku.

"Oleh itu, ibu bapa perlu lebih bijak dan berhati-hati dalam membuat pemilihan pengasuh yang akan ditinggalkan bersama anak-anak," ujarnya.

Selain itu, beliau turut menyentuh perkhidmatan nanny mobile yang menawarkan lebih banyak fleksibiliti kepada pengasuh. Hal itu mungkin menyebabkan golongan pengasuh berkelayakan memilih untuk bekerja sebagai nanny mobile berbanding taska yang mempunyai peraturan lebih ketat.

"Dari segi peluang pekerjaan juga, kita risau kerana graduan yang mempunyai latar belakang pendidikan awal kanak-kanak (ECCE) ni mungkin memilih nanny mobile sebab dia lebih fleksibel jika dibandingkan dengan taska yang mempunyai peraturan ketat," kata Haliza.

Akui beliau, keperluan modal dan ilmu dalam menguruskan taska yang berdaftar dengan JKM menjadikan perkhidmatan mereka lebih terbatas berbanding nanny mobile yang menawarkan lebih banyak kebebasan dan seterusnya mungkin menjejaskan ekonomi taska.

"Nak buka taska bukan suatu perkara mudah. Kita perlu bersedia dari segi modal dan ilmu. Jadi, apabila wujudnya pihak-pihak yang menjalankan perkhidmatan ini, ia sedikit sebanyak mengganggu ekonomi kami," katanya.

Pun begitu, beliau berharap pihak yang menawarkan perkhidmatan jagaan anak dari rumah ke rumah dapat memberi tumpuan yang lebih terhadap keselamatan dan pemantauan pengasuh.

"Kita tak boleh halang benda itu sebab ia adalah rezeki masing-masing. Jadi, kami berharap agensi-agensi terlibat mengambil serius dalam memantau kelayakan pengasuh demi keselamatan anak-anak," tegasnya.

Melalui temu bual eksklusif ini, kedua-dua pandangan daripada ibu bapa dan pengusaha taska menunjukkan bahawa perkhidmatan jagaan anak dari rumah ke rumah mempunyai kelebihan dan kekurangan tersendiri.

Bagi ibu bapa, ia adalah pilihan yang bergantung kepada keperluan individu sama ada untuk mendapatkan penjagaan yang lebih fleksibel atau lebih mengutamakan keselamatan dan kualiti pengasuh.

Namun, kedua-duanya menekankan bahawa ibu bapa perlu lebih bijak dalam memilih perkhidmatan yang sesuai demi kesejahteraan dan keselamatan anak-anak mereka. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram