Nahas ski malam Krismas: Lynn Ban meninggal dunia lepas jalani pembedahan otak


  • Hiburan
  • Khamis, 23 Jan 2025

Lynn Ban meninggal dunia pada Isnin selepas menjalani pembedahan kecemasan akibat pendarahan otak berikutan kemalangan semasa berski pada Disember.

SELEBRITI pereka perhiasan selebriti dan bintang dalam siri Netflix Bling Empire: New York iaitu Lynn Ban disahkan meninggal dunia pada Isnin.

Pemergiannya berlaku hanya beberapa minggu selepas beliau menjalani pembedahan kecemasan akibat pendarahan otak berikutan kemalangan semasa berski pada Disember.

Anaknya, Sebastian mengesahkan pemergian ibu beliau melalui satu hantaran di Instagram pada Rabu.

Dalam hantaran tersebut, Sebastian menyatakan bahawa ibunya mahu berkongsi perjalanan pemulihannya selepas kemalangan dan pembedahan otak.

Kira-kira tiga minggu sebelum itu, Ban telah memuat naik gambar di Instagram untuk memberitahu tentang kemalangan yang berlaku semasa beliau sedang berski di Aspen, Colorado, pada malam Krismas.

Dalam kapsyen foto tersebut, Ban menceritakan bahawa kemalangan itu terasa seakan tidak serius walaupun kepala beliau berasa sakit sedikit.

Setelah diperiksa oleh pasukan penyelamat, Ban mendapati beliau tiada gegaran otak.

Bagaimanapun, seorang paramedik menyarankan agar beliau menjalani imbasan CT di hospital, yang akhirnya mengesan pendarahan otak.

Ban kemudian dipindahkan dengan helikopter ke hospital.

"Perkara terakhir yang saya ingat adalah ketika saya diintubasi dan terjaga selepas menjalani pembedahan craniotomy kecemasan."

Untuk rekod, Lynn Ban berasal dari Singapura dan terkenal sebagai pereka perhiasan mewah yang pernah menghiasi tubuh selebriti terkenal dunia seperti Rihanna, Beyonce, Cardi B, Billie Eilish, Madonna, Lady Gaga, Kendrick Lamar dan Post Malone.

Menurut laman webnya, Ban juga bekerja dengan Rihanna untuk mencipta perhiasan untuk lawatan, penampilan, video muzik, dan koleksi Fenty x Puma.

Ban dikenali dengan reka bentuk yang menggunakan batu permata seperti berlian yang dimasukkan ke dalam logam teroksida, menghasilkan kontras visual yang unik.

Dalam satu artikel The New York Times pada 2017, Ban berkongsi mengenai cincin perisai ikoniknya termasuk rekaannya untuk Rihanna yang dipakai dalam sesi fotografi untuk W Magazine.

Ban menggambarkan cincin tersebut sebagai 'senjata', rekaan yang memberi perlindungan tambahan seolah-olah senjata dalam dunia pasca-apokaliptik. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram