Aura risalah kebangkitan Ernie Zakri


  • Hiburan
  • Isnin, 27 Nov 2023

Ernie Zakri memasang impian untuk membuka sekolah muzik suatu hari nanti. —Instagram Ernie Zakri

PENYANYI bersuara emas, Ernie Zakri sememangnya tidak asing lagi di hati peminat menerusi lantunan vokal mantapnya dalam lagu-lagu seperti Berakhirlah Pencarianku, Takkan Terlerai, Gundah dan Aku Cinta.

Meskipun sebelum ini pernah berputus asa dalam bidang nyanyian, Ernie kini membatalkan hasratnya itu dan menyimpan impian lebih besar.

Berkongsikan mengenai perancangan masa depannya, Ernie atau nama penuhnya, Nur Ernie Shahirah Zakri berkata, dia bercita-cita untuk membuka sekolah muzik suatu hari nanti.

"Salah satu pelan saya ialah buka sekolah ataupun akademik muzik yang dapat mengajar lebih ramai orang dalam bidang nyanyian.

"Jika bukan sekarang, mungkin pada hari tua, kerana saya tidak mahu berhenti dalam bidang ini," katanya.

Menurut pelantun bertubuh kecil molek itu, dia malah terfikir untuk mencari beberapa guru vokal di sekolah muzik yang ingin ditubuhkan itu.

Memiliki semangat yang kuat, Ernie berkata, dia mendapat sokongan tidak berbelah bahagi daripada keluarga khususnya suami, Syamel untuk terus maju dalam bidang nyanyian.

WhatsApp Image 2023-11-26 at 8.20.22 PM

Ernie mendapat sokongan daripada suaminya, Syamel dalam kerjaya sebagai penyanyi.

"Suami sangat menyokong saya terutamanya pada waktu saya putus asa. Malah dia siap buat lagu untuk saya bangkit yang berjudul Jangan Hilang Percaya.

"Ibu saya pun sangat percaya dengan bakat saya. Ibu kata, nyanyi sahaja Ernie. Jangan berhenti.

"Jadi apabila ada sokongan sebegini daripada keluarga sendiri, saya rasa lebih kuat dan semangat," katanya.

Tidak cuma terkenal di dalam negara, nama Ernie turut meniti populariti tersendiri di Indonesia sejak dia melancarkan lagu Masing Masing yang dihasilkan oleh penulis lirik dari pemuzik Indonesia, Ade Govinda.

Bahkan, katanya, dia bakal terbang ke Indonesia pada Januari tahun hadapan untuk mempromosikan lagu tersebut.

"Kita akan buat promosi untuk lagu itu di sana, insya-ALLAH lebih banyak projek akan datang di Jakarta nanti," katanya.

Mengulas mengenai perkembangan semasa, penyanyi berusia 31 tahun itu kini sedang fokus mempromosikan album terbaharu berjudul Aura yang memiliki 10 buah lagu.

"Lagu-lagu dalam album ini saya dapat ilham daripada kisah sendiri dan pengalaman daripada kisah percintaan kawan-kawan," katanya.

Selain itu, Ernie dan Syamel atau Syameel Aqmal Mohd Fodzly turut aktif dalam perniagaan sambal belacan yang dijual menerusi laman TikTok mereka.

Dijual pada harga mampu milik iaitu RM13, perniagaannya itu mendapat sambutan hangat dari peminat di luar sana yang menyokong kerjaya sampingannya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram