Cerita Kita naskhah persahabatan berbeza Nabila Razali, Insomniacks


  • Hiburan
  • Rabu, 27 Sep 2023

Insomniacks dan Nabila Razali lancarkan lagu terbaharu berjudul Cerita Kita.

PEMINAT industri muzik tanah air sememangnya mengenali Insomniacks yang popular dengan lagunya seperti Pulang, Igauan Malam, Reminisensi, Sempurna dan Kepala Batu.

Kumpulan Insomniacks kini dianggotai oleh Syed Mir Iqbal (Iqie); Wan Arif Iskandar (Iskandar) dan Danial Lee Hashim (Danial) sering mencipta kejayaan menerusi lagu-lagu baharu yang mereka hasilkan.

Baru-baru ini, Insomniacks muncul kembali dengan lagu ciptaannya sendiri dan berduet bersama Nabila Razali, yang merupakan seorang penyanyi dan pelakon yang tidak asing lagi di negara ini.

Lagu terbaharu berjudul Cerita Kita yang dilancarkan pada 23 September lalu itu mengisahkan tentang persahabatan yang terjalin sejak kecil yang boleh dikaitkan dengan kehidupan rata-rata pendengar.

Lagu tersebut yang diciptakan sepenuhnya oleh Insomniacks bagi memikat lebih ramai penonton untuk mendalami, memahami dan mendapat penghayatan dalam alunan muzik ini.

Iqie yang menganggotai band itu sejak 2015 mendedahkan proses pembuatan lagu itu berjalan dengan sangat lancar dan mudah tanpa sebarang permasalahan yang timbul.

"Lagu ini saya buat lirik cuma mengambil masa dalam sehari sahaja," katanya.

Insomniacks turut meluahkan rasa seronok kerana dapat bergandingan buat kali pertama dengan Nabila Razali.

"Rasa best, sama vibes, dapat pengalaman dengan kawan-kawan baru, belajar benda baru dan saya rasa gandingan dengan Nabila adalah orang salah seorang yang sangat menarik.

Nabila Razali turut memberi komen mengenai lagu terbaharu gandingan bersama Insomniacks itu.

Menurut Nabila, dia berasakan Insomniacks sangat berbakat dalam mencipta dan menghasilkan lagu.

"Lagu ini Nabila rasa memberi nafas baru buat Nabila yang baru kali pertama berduet dengan sebuah band terkenal. Setiap kali Nabila nak nyanyi pun, rasa berbunga-bunga," katanya.

Nabila turut menceritakan bahawa lagu itu sangat berbeza berbanding lagu-lagu yang pernah dinyanyikan sebelum ini.

Mengulas lanjut, Nabila berasakan kebanyakan lagunya sebelum ini mengisahkan tentang cinta tetapi dalam muzik terbaharu ini banyak menceritakan tentang persahabatan.

"Lagu ini ikut imaginasi orang nak fikir ke arah macam mana, sebab ada yang bagi komen macam sedih lagu ini malah ada yang beritahu pernah alami situasi sama macam dalam video muzik," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram