BACKTONATURE.ASIA tawar 5 pilihan tapak perkhemahan mesra keluarga


  • Hobi
  • Sabtu, 20 Mei 2023

Lawati laman web BACKTONATURE.ASIA untuk menempah tapak dan mengatur sewaan peralatan perkhemahan.

‘KRINGGG’ bunyi jam loceng pada telefon bimbit sering menjadi teman kejut ke tempat kerja namun alangkah seronoknya jika situasi itu bertukar menjadi perjalanan yang membawa kepada suasana kehijauan.

Bagi mereka yang penat dengan kesesakan lalu lintas, hiruk-piruk kota raya pastinya memerlukan aktiviti riadah seperti berkhemah sebagai alternatif untuk ‘melarikan diri’ dan langkah untuk menghilangkan tekanan serta beban kerja.

Oleh itu, tidak peliklah beberapa tahun kebelakangan ini, aktiviti riadah seperti berkhemah semakin mendapat tempat di hati hampir semua lapisan rakyat negara ini.

Setiap kali memilih tapak perkhemahan, tempat yang sarat dengan pengisian aktiviti seperti mandi sungai, memancing, melihat bintang dan barbeku, pastinya menjadi pilihan kegemaran.

Mana tidaknya, kawasan dengan kepelbagaian aktiviti mampu mengeratkan lagi hubungan sesama keluarga dan rakan-rakan terutamanya yang jarang meluangkan masa bersama-sama.

WhatsApp Image 2023-05-16 at 22.43.11

Memancing antara aktiviti ketika perkhemahan.

Bagi memudahkan orang ramai mencari tapak perkhemahan yang mengikut cita rasa mereka, laman web BACKTONATURE.ASIA menjadikan hidup lebih senang dengan meneruskan pencarian di hujung jari sahaja.

BACKTONATURE.ASIA menawarkan lima pilihan lokasi menarik serata tanah air dan pastinya kelima-lima tapak perkhemahan persendirian itu mesra keluarga.

Lima pilihan tapak pekhemahan di BACKTONATURE.ASIA ialah Nomad 1.0 di Tanjung Lompat, Desaru, Johor; Nomad 2.0, Ulu Bendul, AKIHA Village Camp, Johol (Negeri Sembilan); Natura di Manchis dan SIR, Janda Baik (Pahang).

Ketua Pegawai Eksekutif dan pengasas laman web berkenaan, Datin Salinawati Tan Sri Mat Shah berkata, setiap tapak perkhemahan yang dipaparkan BACKTONATURE.ASIA amat sesuai untuk aktiviti perkhemahan berkumpulan dan keluarga bersama anak-anak.

Bagi yang risau akan keselamatan ahli keluarga, setiap lokasi dikawal dengan seliaan penjaga untuk memberi sebarang bantuan kepada para pengunjung.

NAG_4962

Salinawati ketika majlis pelancaran laman web BACKTONATURE.ASIA.

Salinawati yang juga merangkap kepada pemilik SIR Campsite sempat berkongsi mengenai idea pembukaan tapak perkhemahannya di Janda Baik, Bentong, Pahang itu.

“Suami saya bagi idea sebab tanah ini dah lama warisan dari arwah ayah. Sejak kecil tanah ini dah memang ada, cuma dulu nak masuk kena naik kereta pacuan empat roda. Agak lama juga terbiar sebelum idea memulakan tapak perkhemahan itu timbul.

“Kami mula sejak 2019 tapi PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) sepanjang dua tahun. Jadi memang tiada pengunjung. Buah durian pun kami makan sendiri

“Selepas itu, kami mula buat iklan dan dapat respons yang memang baik. Paling tak sangka, ada pengunjung yang datang setiap minggu,” katanya kepada Majoriti.

Mengenai laman web tersebut pula, Salinawati berkata, ia adalah idea daripada semua pemilik tapak perkhemahan yang berada di dalam BACKTONATURE.ASIA.

“Laman web BACKTONATURE.ASIA adalah idea semua orang. Masing-masing pun ada tapak perkhemahan dan kami pun kenal sesama campers.

“Platform ini seperti Agoda yang mana memudahkan orang ramai mencari tapak perkhemahan. Selepas ini mungkin banyak campsite yang boleh masuk website kami. Sekarang dah ada lima tapak perkhemahan,” tambahnya.

Tapak perkhemahan seluas tiga ekar itu terletak hanya 40 minit perjalanan dari Kuala Lumpur yang berlokasi di kaki bukit Janda Baik.

NAG_4856

SIR Campsite mula beroperasi pada 2019.

Pada acara pelancaran rasmi BACKTONATURE.ASIA, tapak perkhemahan SIR yang dipilih sebagai lokasi acara juga menjemput Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman untuk merasmikannya.

Selain daripaada majlis pelancaran BACKTONATURE.ASIA, Young Syefura juga dijemput untuk bersama menanam pokok dan melepaskan kumpulan ikan tilapia serta puyu ke dalam kolam yang terletak di Sir Campsite.

Turut serta dalam acara berkenaan ialah Ketua Pusat Pengembangan Akuakultur, Perlok, Jerantut, Jabatan Perikanan Pahang, Mohd Noramzam Rahim dan Pegawai Hutan Daerah Bentong, Muhammad Azman Yahya.

Menurut pihak penganjur lagi, Jabatan Perhutanan Negeri Pahang menaja pokok merbau yang merupakan pokok kebangsaan, chengal dan pokok buah-buahan nadir sempena Kempen Penghijauan Malaysia Penanaman Semula 100 juta pokok.

Selain itu, Jabatan Perikanan Pahang juga menaja anak benih ikan air tawar iaitu sebanyak 1,400 ekor tilapia; 10,000 ekor lampam sungai; 5,000 terbul agar para pengunjung SIR Campsite merasai ikan segar dari aktiviti memancing.

_DSC5278

Young Syefura ketika melepaskan kumpulan ikan tilapia serta puyu ke dalam kolam yang terletak di SIR Campsite.

“Program menanam pokok dan melepaskan ikan daripada penganjuran BACKTONATURE.ASIA ini bagus sebenarnya apabila kita menggalakkan orang ramai mendekati alam sekitar lagi-lagi kita tengok perubahan iklim ketika ini.

“Ini adalah masanya kita memelihara alam kita pokok-pokok dan sungai. ini adalah sangat bagus kita menggalakkan orang ramai, NGO, syarikat-syarikat, universiti melibatkan diri dalam aktiviti ini.

“Semestinya jika buat aktiviti begini terutamanya di kawasan SIR Campsite ini banyak keluarga. Mereka boleh buat aktiviti bermanfaat bersama keluarga. Anak-anak sekarang banyak di media sosial, jadi bila ada aktivit begini boleh terapkan kepada anak-anak muda,” ujarnya.

Untuk menempah tapak dan mengatur sewaan peralatan perkhemahan, lawati laman web BACKTONATURE.ASIA dan anda sudah boleh merancang pengembaraan yang seterusnya! — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram