Dituduh culik budak, suspek lunyai kena belasah di Sarawak rupanya pencuri sarang burung walit


  • Tular
  • Sabtu, 01 Okt 2022

Tangkap layar menunjukkan seorang lelaki didakwa menculik kanak-kanak cedera dipukul penduduk di Kampung Sungai Ladong, Simunjang, Sarawak.

SEORANG lelaki yang pada mulanya disangka penculik budak dilaporkan cedera parah dipukul penduduk Kampung Sungai Ladong, Simunjang, Sarawak baru-baru ini.

Namun, hasil siasatan polis mendapati individu berkenaan sebenarnya adalah suspek kes curi sarang burung walit dan tuduhan kejadian culik yang dikatakan adalah palsu.

Insiden tangkapan dan keganasan itu dikongsikan di laman Facebook dan tular di media sosial sejak Khamis.

Akibat dituduh menculik, suspek dipukul bertubi-tubi dengan sebatang kayu oleh orang ramai di kaki sehingga terkulai lemah di lokasi kejadian.

Pemangku Ketua Polis Daerah Simunjan, Asisten Komisioner Honchin Ludu berkata, gambar dan video yang tular merupakan kejadian curi sarang burung walit.

“Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) telah mengesan beberapa hantaran yang dimuat naik di laman media sosial yang menyatakan telah berlaku kes culik melibatkan kanak-kanak di Kampung Sungai Ladong, Simunjan, Sarawak.

“Pihak polis menafikan kenyataan itu dan menyifatkan ia sebagai tidak berasas kerana gambar serta video yang dikongsikan merupakan kes pecah rumah sarang burung,” katanya dalam satu kenyataan.

Kes itu jelas beliay, sedang disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah dan curi, dan difahamkan kedua suspek berkenaan telahpun berjaya ditangkap.

Polis turut menegaskan orang ramai agar mendapatkan pengesahan terlebih dahulu daripada pihak berwajib sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan media atau menyebarkan berita palsu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram