PELAWAK dan usahawan terkenal, Shuib Sepahtu menjadikan Suria FM sebagai ruang untuknya kembali semula ke industri seni selepas kehilangan isterinya.
Shuib yang pernah bersama Sinar FM sebelum ini tampil menjelaskan mengapa dia memilih Suria FM selepas beberapa tahun berehat dari industri seni tanah air.
Shuib berkata, pihak Suria FM pernah mempelawanya sebelum ini untuk menjadi penyampai radio namun pelawaan itu terpaksa ditolak.
"Sebelum ini DJ Lin pernah menawarkan untuk bekerja bersama Suria FM namun ketika itu agak terlambat kerana sudah ada tawaran dari pihak stesen radio yang lain.
"Saya rasa sudah masa untuk kembali selepas sekian lama menghilangkan diri dalam industri hiburan. Selepas pemergian arwah saya seperti hilang semangat," katanya ketika ditemui sidang media Jelajah Suria FM di Meridien Putrajaya pada Sabtu.
Shuib Sepahtu akan bergandingan dengan penyampai segmen pagi Suria FM sedia ada iaitu Suraya Borhan dan Ajak.
Tambah Shuib lagi, beliau menerima tawaran Suria FM kerana dia merasakan stesen radio tersebut berpotensi pergi lebih jauh.
"Ketika saya bersama stesen radio yang lain, waktu itu saya melihat Suria FM mempunyai potensi besar kerana menjadi pencabar utama.
"Disebabkan itu, saya melihat Suria FM mempunyai potensi untuk pergi lebih jauh," jelasnya.
Dalam pada itu, Shuib yang juga merupakan suami kepada Allahyarhamah Siti Sarah Raisuddin bakal memulakan tugas sebagai penyampai segmen pagi di Suria FM bermula Isnin.
Lebih menarik lagi, Suria FM memperkenalkan segmen baharu 'Morning Morning Suria' bermula pukul 6 pagi hingga 10 pagi bagi menceriakan suasana pagi anda.
Pengurus Besar Suria FM, DJ Lin atau nama sebenarnya Roslinda Abdul Majid berkata, nama segmen baharu tersebut dipilih oleh Ajak, Suraya Roslan dan Shuib. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram