KES bunuh melibatkan ahli keluarga terdekat yang semakin banyak dilaporkan akhir-akhir ini amat membimbangkan apatah lagi rata-rata -rata individu yang terlibat tidak mempunyai latar belakang penyakit mental serta bebas pengaruh dadah.
Antara kes yang menggemparkan berlaku pada Julai lepas di Kampung Bakar Batu, Johor, melibatkan seorang lelaki yang didakwa membunuh dengan mengelar isteri dan bayinya yang berumur tiga bulan.
Kes berkenaan mendapat liputan meluas pelbagai pihak termasuk di media sosial kerana suspek berusia 24 tahun itu digambarkan sebagai seorang lelaki, anak, menantu dan suami yang mempunyai tingkah laku yang baik termasuk tidak pernah menunjukkan sikap panas baran.
Kes pembunuhan seperti ini sudah tentu membuatkan ramai yang tertanya-tanya apakah punca penyebab atau mendorong lelaki berkenaan bertindak kejam sedangkan yang diragut nyawa itu adalah isteri dan anaknya sendiri?
Bagaimana seorang individu yang secara luarannya dilihat tidak bermasalah, ketawa dan ceria namun tiba-tiba boleh bertindak di luar jangkaan. Apakah mungkin ianya berkait dengan gangguan atau masalah mental?
Pelbagai aspek perlu diperhalusi bagi memahami mengapa insiden bunuh ahli keluarga boleh terjadi. —Agensi
Lambakan masalah serentak
Pakar Perunding Psikiatri Pusat Perubatan MSU, Prof Dr Zulkifli Ghaus berkata, pelbagai aspek perlu diperhalusi bagi memahami mengapa insiden bunuh ahli keluarga boleh terjadi.
Menurut beliau, antaranya, mengetahui sama ada terdapat sebarang masalah ketika seseorang itu dilahirkan sebagai contoh si ibu trauma sewaktu melahirkan seterusnya mendatangkan kecacatan dari segi perkembangan otak si anak yang membuatkannya mengalami kesukaran untuk mengawal perasaan.
Selain itu, sewaktu di alam persekolahan, adakah seseorang itu pernah dibuli atau didera secara fizikal atau emosi serta pengaruh negatif rakan-rakan terhadap dirinya.
"Personaliti seseorang sama ada introvert atau extrovert juga boleh mempengaruhi. Introvert merujuk kepada individu yang pendiam dan tidak menceritakan masalahnya kepada orang lain, suka berada di rumah, tidak agresif, sukar membimbing tapi suka dibimbing dan tidak pandai bergaul.
"Extrovert pula merujuk kepada individu yang dinamik, bercita-cita, suka membimbing, agresif, suka berada di luar rumah dan mempunyai hobi yang lasak. Namun begitu, terdapat juga personaliti lain yang boleh mempengaruhi tindakan seseorang seperti paranoid, anti sosial, histrionic (orang yang suka berdrama untuk mendapat perhatian) dan lain-lain,” katanya.
Dr Zulkifli berkata, maklumat lengkap berhubung kejadian (insiden bunuh) perlu didapatkan secara terperinci termasuk sebelum, semasa dan selepas kejadian berlaku.
Beliau juga tidak menolak lazimnya insiden yang tidak diingini itu berlaku akibat individu terbabit berhadapan pelbagai masalah secara serentak, antaranya masalah rumah tangga, di tempat kerja, hutang, jiran, masalah kesihatan diri termasuk tiada selera makan, infeksi dan masalah tidur.
"Apabila lambakan masalah datang sekali gus, kadang-kadang manusia akan hilang kemampuan dan pertimbangan untuk menanganinya. Apatah lagi jika kesihatan diri sendiri turut terjejas seperti kekurangan rehat dan tidur, air dan makanan yang boleh membuatkan bahan kimia di otak terutamanya neurotransmitter tidak stabil dan boleh membuat individu itu menderita psikosis.
"Psikosis merujuk kepada keadaan tidak waras apabila seseorang tidak berada di alam nyata dan tidak dapat membezakan antara yang baik dan buruk termasuklah perbuatan menunggang motosikal dalam keadaan berbogel.
"Mendengar suara-suara (halusinasi) yang mungkin menghina, mencaci atau arahan tertentu akan membuat mereka marah dan bertindak luar kawalan termasuk membunuh diri atau orang lain,” katanya menambah, golongan itu juga boleh mengalami delusi iaitu mempercayai sesuatu perkara yang terbukti salah.
Dr Zulkifli berkata, psikosis merujuk kepada keadaan tidak waras apabila seseorang tidak berada di alam nyata dan tidak dapat membezakan antara yang baik dan buruk. —Bernama
Faktor organik
Mengulas lanjut, Dr Zulkifli berkata, dalam kes seperti di atas, terutama jika individu yang terlibat itu masih muda, bahagian perubatan akan cuba mencari punca mengapa kejadian sedemikian boleh berlaku.
"Hal-hal yang perlu difikirkan adalah seperti faktor organik iaitu suatu keadaan apabila sel-sel otak terganggu atau rosak yang membuatkan individu itu bermasalah.
"Antara faktor organik yang perlu diselidik ialah pengaruh dadah, infeksi terutamanya di otak, perdarahan dalam otak akibat trauma, gangguan kadar elektrolit dalam darah, masalah sistem endokrin, masalah tumor otak, kurang vitamin tertentu bahkan masalah keracunan makanan juga boleh menjadi punca.
"Sekiranya doktor tidak dapat mengesan penyebab seperti di atas, barulah kita fikirkan masalah kesihatan mental yang dikategorikan sebagai faktor bukan organik atau faktor functional yang disebabkan genetik, persekitaran, psikologi dan sosiologi. Kes-kes ini termasuklah Brief Psychotic Disorder (kecelaruan psikotik sementara), Dissociative Disorder (kecelaruan jati diri), amuk dan histeria,” jelasnya.
Zulkifli pada masa sama menambah, sikap memendam rasa, menjaga hati orang lain atau mungkin tanggapan tidak mahu membesar-besarkan sesuatu perkara boleh mengundang kepada situasi ‘makan dalam’ dan memberi implikasi besar kepada diri sendiri termasuk bunuh diri atau membunuh orang lain.
"Secara puratanya, kaum lelaki lebih sukar meluahkan perasaan kerana sifat mereka yang memimpin dan bukan dipimpin. Meminta pertolongan daripada orang lain membuatkan mereka kelihatan lemah dari segi mental dan fizikal.
"Berbeza dengan wanita, mereka lebih mudah menyuarakan isi hati dan lebih cenderung mendapatkan pertolongan. Elakkan memendam masalah sebaliknya rujuklah kepada individu yang boleh dipercayai seperti ibu bapa, adik beradik, kaunselor, pakar psikologi atau pakar psikiatri,” katanya.
Bagi beliau, merujuk kepada pakar bidang adalah jalan terbaik kerana maklumat yang dikongsi adalah sulit dan laporan akan hanya dikeluarkan dengan kebenaran individu terlibat. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram