SEORANG ibu terharu mendengar nama mendiang anaknya, Ng Yi Ming, 35, graduan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) yang meninggal dunia akibat masalah jantung tahun lepas, diumumkan di pentas Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Sabah (UMS) ke-23, pada Jumaat.
Cheng Lak Mooi, 65, ibu kepada mendiang menerima skrol bagi pihak anaknya yang disampaikan oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tuan Yang Terutama Tun Datuk Seri Panglima Juhar Mahiruddin.
“Saya sangat gembira kerana dapat memenuhi hasrat mendiang untuk hadir dan menerima skrol bagi pihaknya.
“Sebelum menerima PhD dalam bidang psikologi di UMS, mendiang juga pernah menerima Ijazah Sarjana Muda Kepujian Psikologi Industri dan Organisasi di UMS selain Ijazah Sarjana Sains Psikologi Perkembangan Kanak-kanak dari Universiti Putra Malaysia (UPM).
“Mendiang merupakan seorang yang rajin dan sangat cekal. Kami sangat berbangga kerana mendiang berjaya melangkah sangat jauh sehingga ke tahap ini walaupun sedang menderita penyakit jantung,” katanya.
Lak Mooi (tengah) masih tidak dapat menahan sebak ketika ditemui wartawan selepas majlis konvokesyen UMS ke-23, pada Jumaat. — Ihsan UMS
Lak Mooi turut menceritakan yang anaknya sempat membuat pembentangan VIVA pada 21 Januari 2021 dan diberikan tempoh selama tiga bulan untuk membuat pembetulan tesis sebelum dihantar.
VIVA atau sebutannya 'vaiva' adalah pembentangan bagi pengajian di peringkat sarjana atau doktor falsafah.
Bercerita tentang penyakit jantung yang dihidapi, Yi Ming pernah menjalani rawatan pembedahan penggantian injap pada bulan September 2014.
Setelah menjalani pembedahan besar yang berisiko tinggi itu, mendiang sering mengalami masalah heart palpitations.
Mendiang menghembuskan nafas terakhir pada 21 Februari 2021 setelah lebih 20 tahun menderita penyakit mitral valve prolapse.
Untuk rekod, Yi Ming dianugerahkan ijazah secara anumerta dan salah seorang daripada 77 penerima Ijazah Doktor Falsafah (PhD) yang diraikan pada Majlis Konvokesyen UMS ke-23. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram