PELAKON, Nadzmi Adhwa Nor Adzmi mengakui banyak mempelajari cara untuk mengikhlaskan pemberian sumbangan kepada orang lain daripada isterinya, Ardell Aryana.
Dia berkata, isterinya itu tidak kisah mengeluarkan belanja hingga berpuluh-puluh ribu ringgit sebagai sumbangan derma kepada insan yang benar-benar daif dan memerlukan.
"Dia pernah dermakan RM10,000 yang mana sebahagian amaun itu disumbang dalam bentuk barangan keperluan, pakaian dan sebagainya manakala baki RM5,000 diberi dalam bentuk wang tunai.
"Ketika itu ikhlas saya RM500 macam tu sahaja. Saya dalam hati orang kata masih berkira-kira nak bagi (sumbangan) dalam amaun yang sebegitu banyak tapi isteri saya sanggup. Dia tak kisah," katanya.
Dia berkata demikian ketika ditemui selepas majlis pengenalan ikon-ikon Misi Kemanusiaan Afrika anjuran Pertubuhan Impak Prihatin Malaysia atau Impactive Malaysia (IM) pada Khamis.
Pada majlis itu, Nadzmi Adhwa dilantik menjadi salah seorang daripada tujuh ikon yang akan memberikan fokus kepada pembangunan pendidikan dan ekonomi masyarakat minoriti Islam di Tanzania.
Nadzmi (dua kiri) pada majlis pengenalan ikon-ikon Misi Kemanusiaan Afrika anjuran IM pada Khamis.
Bercerita lanjut, bapa kepada seorang cahaya mata itu berkata, meskipun dikenali dengan sikap pemurah dan suka menolong orang, dia dan isterinya akan membuat semakan terlebih dahulu bagi memastikan insan yang dibantu itu benar-benar orang susah.
"Setakat ini, Alhamdulillah kami tidak pernah pula kena 'scam' dengan orang yang berpura-pura susah sebab memang kami akan semak latar belakang mereka betul-betul.
"Pernah kami nak tolong satu keluarga ni tapi apabila ke rumah mereka ada tiga buah kereta, Toyota Alphard lagi, jadi kami tak teruskan bantuan.
"Saya juga percaya rezeki ALLAH itu akan kembalikan dalam apa cara sekalipun cuma perlu ikhlas diri untuk membuat pemberian itu," katanya.
Ketika ditanya mengenai pembabitan aktif Ardell dalam misi kemanusiaan meskipun sudah bergelar ibu, Nadzmi berkata, dia tidak menghalang semangat isterinya itu.
"Itu kebahagiaan dia yang saya tak boleh katakan tidak, daripada sebelum kami berkahwin, dia dah aktif sertai pelbagai misi kemanusiaan, dia gembira ikut program sebegini.
"Menolong orang adalah satu bentuk kebahagiaan buat dirinya. Kalau dia gembira, saya pun tumpang gembira. Cuma saya sentiasa ingatkan dia untuk jaga keselamatan diri dan jaga batas-batas pergaulan. Inipun memang dia tahu sendiri," katanya.
Mengulas mengenai lantikannya sebagai ikon misi kemanusiaan itu, Nadzmi berkata, dia bersyukur kerana pengalaman mengikuti pelbagai kerja-kerja amal memberinya peluang untuk bermuhasabah diri.
"Ketika saya ke Palu, Indonesia, saya pernah tengok orang makan beras begitu sahaja tapi itu sudah membuatkan mereka bersyukur.
"Kadang-kadang kita rasa susah, tapi ada orang lain lebih susah daripada kita," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram