Ramai pulang beraya mungkin sebab penularan HFMD


  • Sihat
  • Rabu, 18 Mei 2022

Tanda-tanda seseorang individu mengalami penyakit HFMD termasuk demam serta ruam di mulut, tangan, kaki dan kawasan lampin. — Gambar hiasan

SELEPAS perayaan Aidilfitri, peningkatan kes penyakit, kaki, tangan dan mulut (HFMD) di negara ini dalam kalangan kanak-kanak amat membimbangkan.

Terdahulu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dilaporkan berkata, jumlah kes penyakit itu setakat ini sebanyak 15 kali ganda berbanding tempoh sama tahun lepas dengan 31,661 kes.

Selangor menyumbang jumlah kes terbesar HFMD dengan 8,864 kes iaitu 28 peratus daripada keseluruhan, diikuti Kuala Lumpur dan Putrajaya - 4,421 kes (14 peratus), Sabah - 2,650 kes (8 peratus), Perak - 2,638 kes (8 peratus) dan Kelantan - 2,493 kes (7.9 peratus), sementara negeri-negeri lain melaporkan kurang daripada 1,500 kes.

Beliau berkata, sebanyak 889 wabak dilaporkan di Malaysia iaitu tiga negeri tertinggi ialah Kuala Lumpur dan Putrajaya iaitu 309 wabak (35 peratus), diikuti Selangor dengan 111 wabak (12 peratus) dan Perak 105 wabak (12 peratus).

Dr Noor Hisham berkata, kebanyakan kes HFMD berlaku dalam kalangan kanak-kanak berumur enam tahun ke bawah iaitu sebanyak 29,781 kes (94 peratus), diikuti kanak-kanak berumur tujuh hingga 12 tahun iaitu 1,473 kes.

Mengulas mengenai perkara itu, Dr. Kamarul Ariffin Nor Sadan berkata, ramai ibu bapa bawa anak kecil datang ke klinik dengan ruam dan demam dan apabila diperiksa, mereka menghidap HFMD.

Pakar kesihatan itu berkata, HFMD disebabkan oleh virus dan merebak dari individu ke individu dengan sentuhan langsung melalui lelehan hingus, air liur, najis dan cecair ruam dari mereka yang dijangkiti.

"Hari Raya kali ini, ramai orang pulang ke kampung berkumpul bersama sanak saudara. Mungkin itu menyebabkan penularannya. HFMD mudah menjangkiti kanak-kanak yang ditempatkan bersama.

Semua peringkat umur termasuk orang dewasa boleh dijangkiti HFMD, namun kanak-kanak di bawah umur bawah 5 tahun paling berisiko dijangkiti," katanya menerusi hantaran di laman Facebook.

Jelas beliau, antara tanda-tanda seseorang individu mengalami penyakit HFMD termasuk:

a) demam

b) ruam di mulut, tangan, kaki dan kawasan lampin

c) ulser pada tekak, mulut dan lidah

d) sakit tekak

e) sakit kepala

f) hilang selera makan

Rawatan yang dicadangkan:

a) beri Paracetamol untuk kawal demam

b) pastikan anak minum dengan cukup

c) jika anak tidak mahu makan atau minum dan terlalu lemahm bawa anak berjumpa doktor segera

Pencegahan:

a) cuci tangan dengan sabun sebelum sediakan makanan, selepas keluar tandas, menukar lampin dan mencuci najis.

b)Menutup mulut dan hidung bila batuk dan bersin. Buang tisu dalam tong bertutup.

c)Bersihkan mainan, kerusi dan meja yang tercemar dengan air liur anak.

d)Tidak berkongsi pakaian, tuala, perkakas makanan dan minuman serta mainan.

e)Anak yang disyaki HFMD hendaklah dikuarantin dan tidak di hantar ke taska/tadika/asuhan/sekolah, atau ke tempat awam. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram