Syafiq Farhain akui sudah bergelar suami


  • Hiburan
  • Khamis, 21 Apr 2022

Syafiq Farhain akui sudah berkahwin ketika ditemui pada majlis berbuka puasa Rusa dan MVM di Puchong pada Khamis. — Majoriti

"SAYA akui sudah berkahwin tetapi tidak berniat untuk merahsiakannya daripada orang ramai dan kalau orang tanya, saya akan beritahu."

Itu pengakuan yang dibuat penyanyi, Syafiq Farhain, 28, berkenaan status dirinya yang dikhabar sudah berkahwin sebelum ini.

Syafiq ketika ditanya mengenai butiran perkahwinannya juga enggan mengulas secara terperinci.

"Apa yang saya boleh katakan, memang saya sudah berkahwin semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu di Terengganu.

"Sebenarnya orang yang rapat dengan saya semua tahu cuma saya tidak menghebahkan perkara itu kepada umum. Tapi kalau ada orang tanya, saya jawablah," katanya.

Syafiq memilih pengurusnya sebagai isteri. — Majoriti

Terdahulu, Syafiq ditemui di majlis berbuka puasa label rakaman Rusa dan MVM di Puchong, Selangor pada Khamis.

Dalam pada itu, Syafiq memberitahu, gadis pilihannya merupakan pengurusnya yang juga berasal dari Terengganu.

Ditanya sama ada dia enggan mendedahkan status dirinya kerana takut mengganggu kerjayanya, jelas Syafiq, dia menafikan perkara tersebut.

"Bukan tak mahu dedahkan tapi saya rasa masanya belum sesuai sekarang. Mungkin bila dah tiba masanya, saya akan beritahu secara terperinci," katanya.

Terdahulu, nama Syafiq tular selepas dikatakan telah berkahwin namun enggan mengulas lanjut mengenai perkara tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram