JULAI tahun lalu, nama seorang anggota kumpulan Caliph Buskers menjadi perhatian kerana kehidupannya yang agak sukar ekoran pandemik Covid-19 yang melanda dunia.
Kesusahan Fendi menjadi tumpuan ramai ketika itu dengan bantuan menjelma hampir setiap hari baik daripada kerajaan, persatuan dan individu.
Menjalani bulan Ramadan kali ini, Fendi mengakui yang rezekinya tidaklah begitu meriah seperti sebelum ini tetapi tetap bersyukur dengan apa yang ada.
"Alhamdulillah saya dapat bersama dengan rakan-rakan yang lain mencari sesuai nasi dengan membuat busking di beberapa tempat yang dijemput.
"Cuma kadang-kadang kami busking pun wang yang dapat bolehlah untuk kami bahagikan seorang sedikit cuma jumlah itu tidaklah banyak.
"Kadang-kadang bila ditolak semua kos pengangkutan, kos sewa barang dan lain-lain. Keuntungan yang diperoleh kecil tetapi kami tetap bersyukur," katanya kepada Majoriti.
Kesempitan hidup Fendi pada tahun lalu yang tular mendapat perhatian ramai pihak termasuk bekas Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.
Menurut Fendi yang turut busking di kawasan bazar Ramadan seperti di PKNS Bangi, kemeriahan bazar pada bulan puasa ini agak kurang agak kurang berbanding sebelum pandemik.
Jelasnya, mungkin disebabkan ramai yang masih terkesan dengan pandemik yang membuatkan rezeki busking buat Fendi dan rakan-rakannya sedikit berkurang.
"Bukan saya sahaja yang terkesan, ramai yang mengalami perkara sama. Cuma saya berharap ada rezeki lebih buat kami terutamanya apabila adanya penganjuran bazar Aidilfitri.
"Lagipun ketika itu ada bantuan kewangan yang sudah mula masuk dan mungkin kemeriahannya akan sedikit berbeza dan dapatlah kami menumpang rezeki bersama," katanya.
Tambah Fendi, bulan Ramadan kali ini juga dia dan beberapa anggota Caliph Buskers yang lain terpaksa berpecah ke beberapa kawasan untuk mencari rezeki.
"Kalau kami semua tertumpu pada kawasan yang sama. Memang susah sikit. Jadi lebih baik kami berpecah dan busking di kawasan masing-masing," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram