Budak lelaki 9 tahun rentung di Lahad Datu


  • 112
  • Ahad, 10 Apr 2022

DUA rumah terbabit yang musnah akibat kebakaran di Lahad Datu. — Sinar Harian

SEORANG kanak-kanak lelaki ditemui rentung dalam kebakaran membabitkan dua rumah di Kampung Tanjung Labian Sungai Bilis, di Lahad Datu, Sabah pada Ahad.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11 pagi itu, Abu Bakar Ash Siddiq Rajesh, 9, dipercayai terperangkap di dalam salah sebuah rumah sebelum mayatnya ditemui dalam keadaan rentung.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Samsoa Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 11.05 pagi.

Katanya, seramai tiga anggotanya bersama lima anggota dari Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Felda Sahabat dikejar ke lokasi yang terletak sejauh 120 kilometer dari BBP Lahad Datu.

"Sebaik tiba, terdapat dua rumah jenis tidak kekal musnah akibat kebakaran namun pasukan bomba tidak melakukan tindakan pemadaman kerana api sudah dipadam sepenuhnya oleh PBS Felda Sahabat.

"Gerakan mencari dan menyelamat mangsa segera dilakukan sebelum menemui mangsa kanak-kanak dalam keadaan rentung dan mengikut pemerhatian awal, mayat mangsa berada di kedudukan bahagian ruang tamu rumah berkenaan," katanya.

Katanya lagi, ketika kejadian mangsa dipercayai berseorangan di rumah manakala kedua ibu bapanya keluar ke Bandar Lahad Datu.

"Mayat kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut dan operasi ditamatkan pada pukul 2.40 petang," katanya. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram