Penggali kubur sebak, ibu bapa tak dapat urus jenazah kanak-kanak mangsa Covid-19


Sayu...sukarelawan (kanan) ketika mendukung jenazah kanak-kanak yang menghidap Covid-19.

UMUM mengetahui bahawa tugas penggali kubur kebiasaannya digalas oleh kaum Adam yang agak berusia dan menjadikan kerjaya itu sebagai sepenuh masa.

Namun, lain pula bagi seorang pembantu tadbir yang menjadikan aktiviti pengurusan kubur sebagai salah satu kerja amal dan sukarelawan bagi mengisi masa terluang, meskipun ia jarang dilakukan oleh kebanyakan pemuda yang seusia dengannya.

Bagi Muhamad Harith Saring, 26, beliau tidak mendambakan wang ringgit, sebaliknya menganggap perkara itu sebagai salah satu saham akhirat serta kewajiban fardu kifayah bagi umat Islam.

Muhamad Harith berkata, beliau memulakan kerja amal itu sejak zaman sekolah apabila terbiasa mengikuti rakan-rakan dan bapa saudara yang kerap kali menguruskan tanah perkuburan Islam.

b5eb3d20-d87b-4577-b8df-8e2803441864

MUHAMAD Harith ketika melaksanakan aktiviti sukarelawan di sebuah tanah perkuburan.

Katanya, setakat ini beliau hanya menguruskan tanah perkuburan di Kampung Sungai Ramal Dalam dan Kampung Sungai Ramal Luar, dekat Kajang, Selangor.

Sepanjang pengalamannya menguruskan tanah perkuburan, beliau mengakui terkilan apabila terpaksa menggali kubur buat kanak-kanak berusia 4 tahun yang meninggal dunia akibat Covid-19 tanpa ibu bapa di sisi.

"Ini kerana mak ayahnya positif (Covid-19), tapi yang menguruskan jenazah kanak-kanak itu hanyalah pak ciknya.

"Bila bayi meninggal ni pun memang sangat sedihlah," katanya kepada Majoriti.

template (3)

PARA sukarelawan berehat seketika selepas kerja-kerja pengurusan jenazah dilaksanakan.

Selain itu, beliau juga terkilan apabila ada individu yang meninggal dunia akibat Covid-19, namun waris jenazah tidak dapat menghadiri majlis pengebumiannya akibat dikuarantin.

Malah, katanya, ada juga kes yang mana waris hanya mampu melihat dari jauh urusan pengebumian jenazah.

"Ada juga jenazah bila dah meninggal dan ketika mahu dikebumikan, pihak pengurusan kubur ada yang tolak sebab si mati bukan ahli kariah," katanya.

template (2)

SUASANA ketika (kiri) dan selepas (kanan) kerja-kerja pengurusan jenazah.

Jelasnya, beliau juga pernah menguruskan pengkebumian jenazah orang-orang kenamaan yang antara lain termasuk bekas komposer Allahyarham Datuk Adnan Abu Hasan; bekas atlet menembak negara, Allahyarham Datuk Sabiamad Abdul Ahad; bekas Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Allahyarham Datuk Engku Hamzah Tuan Mat; dan pengasas Sate Kajang Haji Samuri, Allahyarham Datuk Samuri Juraimi.

Namun, Muhamad Harith berkata, tiada apa yang istimewa ketika menguruskan jenazah orang-orang kenamaan kerana mereka akan diurus sama seperti rakyat biasa.

Tiada kejadian aneh

Ketika ditanya sama ada terdapat kejadian aneh sepanjang kerjaya sukarelawan itu, beliau bersyukur kerana tiada sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.

template (4)

SUKARELAWAN sedang melakukan kerja-kerja pengurusan jenazah.

Tambahnya, beliau juga tidak mempunyai perasaan takut ketika menguruskan jenazah pada waktu malam kerana ditemani oleh rakan-rakannya.

"Kalau buat seorang diri pada waktu malam tak pernah lagi, sebab bila ada kematian ataupun buat lahad, saya stand by (bersedia) mesti ada kawan-kawan lain datang sekali.

"Saya harap akan lebih ramai anak muda yang boleh meluangkan masa untuk membuat kerja-kerja amal seperti ini.

"Dan saya harap juga pada masa akan datang, jika berlaku kematian pada mak ayah saya, saya dapat melakukan dengan sebaik mungkin. Insya-ALLAH," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram