
PEMAIN bass band punk rock, Armpunk Sindicate, Akmal Hakim Syed Abdul Hamid atau HK mendedahkan bahawa dia pernah mengalami masalah kesihatan mental.
Menurut HK, masalah kesihatan mental yang membelenggu dirinya bermula sewaktu dia melanjutkan pengajian di Amerika Syarikat.
“Saya melanjutkan penganjian di sana pada 2013. Perasaan rindu berjauhan dengan keluarga dan tanah air, tugasan pengajian yang bertimbun serta masalah-masalah lain yang membelenggu menyebabkan saya kerap memendam rasa, lebih gemar menyendiri, kurang keyakinan diri serta tidak mampu untuk bangkit keluar dari bilik.
“Awalnya saya sendiri tidak merasai apa-apa. Saya sendiri tidak menyedari bahawa saya mempunyai masalah anxiety. Tapi, apabila keadaan diri saya berterusan begitu, saya terpaksa mendapatkan nasihat pakar dan menjalani rawatan sekitar akhir 2014,” katanya kepada Majoriti.
Tambahnya lagi, sehingga sekarang kesannya masih ada dan dia masih lagi mendapatkan rawatan susulan doktor.
Katanya lagi, cuma kali ini ia tidak seteruk dahulu dan caranya untuk mengalihkan masalah itu adalah dengan bermain muzik.
“Pengalaman ‘benar’ yang saya dialami akhirnya mencetuskan inspirasi buat band muzik kami untuk menghasilkan lagu Seteru Mu.
“Memang lagu ini tentang kisah diri saya. Tetapi, pada waktu yang sama, saya tahu ada ramai lagi kawan-kawan saya dan masyarakat di luar sana yang melalui keadaan ini.
“Misi kami terhadap lagu ini adalah untuk membangkitkan semangat buat mereka supaya mereka tahu bahawa mereka bukan keseorangan dan dapat melalui hari-hari seterusnya dengan positif.
“Elakkan kesedihan dan jangan tunggu hingga sampai ada masalah sehingga ia mengacau kehidupan seharian anda,” katanya lagi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram