Pesara buka gerai, bantu golongan muda berniaga


PAK Din menguruskan perniagaan kuih yang dilakukan di hadapan rumahnya di Kangar. — Facebook

HASRAT untuk membantu serta memberi galakan kepada golongan muda menceburi dunia perniagaan mendorong seorang pesara membuka gerai kuih di hadapan rumahnya di Taman Sena Indah, Kangar, Perlis.

Pemilik Gerai Kuih Pak Din 2020, Jamaluddin Muhamad berkata, dia mula berniaga kuih secara kecil-kecilan sejak 20 tahun lepas bermula dengan hanya gerai beroda sebelum membuka gerai di hadapan rumah pada 2019.

Peniaga berusia 72 tahun itu berkata, sebilangan besar kuih yang dijual di gerainya adalah hasil tangan anak muda sekitar Kangar dan bagi menggalakkan mereka lebih seronok untuk berniaga, Jamaluddin tidak mengambil untung lebih.

gerai kuih pak din

PAK Din menjual kuih hasil tangan anak muda di sekitar Kangar, Perlis. — Bernama

Jamaluddin yang mesra dengan panggilan Pak Din berkata, kebanyakan penjual kuih yang menghantar kuih ke gerainya bukan daripada keluarga senang namun mereka mempunyai semangat tinggi dan minat mendalam untuk berniaga.

"Hanya ini sahaja yang dapat pakcik bantu anak muda iaitu membantu mereka mulakan perniagaan dengan modal kecil dan pakcik bangga kerana ramai anak muda mula berminat untuk berniaga walaupun secara kecil-kecilan,” katanya.

Menurut bapa kepada empat orang anak itu, boleh dikatakan setiap hari ada sahaja peniaga kuih yang menghantar kuih di gerainya dan itu satu petanda positif bahawa orang muda di Perlis suka berniaga.

"Bagi Pakcik tiada istilah ‘tiada kerja’, rezeki ada di mana-mana sahaja. Cuma terpulang kepada individu hendak berusaha atau sebaliknya.

"Nasihat Pakcik kepada anak muda yang masih belum mendapat pekerjaan beranikan diri untuk berniaga secara kecil-kecilan, insya-Allah setiap usaha akan disusuli dengan kejayaan,” katanya.

Pesara Pos Malaysia Berhad itu berkata, terdapat lebih 50 jenis kuih di gerainya antara kuih tradisional yang mendapat sambutan adalah kuih tepung pelita, kuih kochi, pulut udang, tapai, kuih getas dan banyak lagi. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

pak din, kuih, pesara, muda, perlis, kangar