Hobi melukis planet bawa tuah, curi tumpuan Nasa


  • Hobi
  • Selasa, 25 Jan 2022

NASA memberi bayaran sebanyak RM4,180 kepada Chua bagi mengubah suai salah satu ilustrasinya menjadi format poskad untuk edaran umum. — Agensi

SIAPA sangka hobi melukis memberi tuah apabila hasil karya seorang pemuda kini mendapat perhatian dunia.

Jarod Chua, 22, menghabiskan masa dengan melukis komik bertemakan planet di rumahnya di Singapura ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan pada Jun 2020.

Dia kemudian memuat naik karyanya itu di laman Instagram menggunakan akaun @spaceytales.

Lebih mengejutkan, akaun itu menarik kira-kira 1,000 pengikut dalam tempoh sebulan dan sejak itu meningkat kepada lebih 9,000.

Kini, dia berasa teruja kerana karya seninya menarik perhatian Agensi Aeronautik dan Angkasa Lepas (Nasa).

Agensi angkasa Amerika Syarikat (AS) itu menghubunginya pada Julai 2020 untuk mendapatkan kebenaran menyiarkan semula salah satu lukisan miliknya, yang dikaitkan dengan Teleskop Angkasa James Webb milik Nasa - bernilai AS$9 bilion (RM38 bilion) yang direka untuk melihat lebih jauh ke dalam kosmos.

Beberapa bulan kemudian, Nasa menghubunginya semula untuk bekerjasama dengannya bagi mengubah suai salah satu ilustrasinya menjadi format poskad untuk edaran umum. Sebagai balasan, Nasa membayar AS$1,000 (RM4,180).

"Pada mulanya, saya agak gembira dan terkejut dan tidak terlalu memikirkannya. Saya fikir mereka hanya akan menyiarkan semula lukisan saya.

"Kemudian ia mula menjadi lebih serius dan saya terkejut ketika mereka mahu membayar saya dan jika mereka tak memberi bayaran sekali pun, saya tetap berasa gembira," katanya.

Pelajar sarjana tahun pertama dalam Program Komunikasi Digital dan Media Bersepadu di Institut Teknologi Singapura menghabiskan kira-kira setahun pada projek itu dengan Jabatan Awam Nasa.

Poskad yang memaparkan karya ilustrasinya telah dilancarkan bulan lalu di laman web Nasa. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram