Pengambilan kacang tanah ketika bayi mampu kurangkan alahan


  • Sihat
  • Isnin, 24 Jan 2022

INTERVENSI awal adalah peluang terbaik untuk mengelakkan alahan terhadap kacang tanah. — Gambar hiasan/Agensi

ALAHAN terhadap kacang tanah adalah sangat bahaya sehingga boleh membawa maut dan sebahagian kanak-kanak di seluruh dunia mempunyai masalah ini.

Satu kajian baharu mendapati, memasukkan kacang tanah dalam diet bayi sejak awal tumbesaran mereka boleh membantu mengurangkan alahan.

Penyelidik mendapati bahawa memberi kacang tanah kepada bayi dan meningkatkan pengambilan secara beransur-ansur boleh meningkatkan toleransi terhadap alergen biasa.

"Intervensi awal mungkin memberi peluang terbaik untuk mengelakkan alahan,” kata pengarang bersama kajian, Stacie Jones.

Kajian yang diterbitkan dalam The Lancet itu melibatkan 146 bayi dan kanak-kanak yang mempunyai alahan terhadap kacang tanah berumur bawah satu tahun hingga tiga tahun.

Mereka semua dipantau dalam tempoh dua tahun setengah.

Daripada jumlah tersebut, 96 orang diberi serbuk protein kacang tanah setiap hari, dengan dos meningkat dari semasa ke semasa sehingga bersamaan dengan enam biji kacang tanah. Kanak-kanak lain menerima plasebo dalam bentuk tepung oat.

Seramai 20 orang kanak-kanak yang menerima serbuk kacang tanah menunjukkan pengurangan simptom, bermakna tiada tindak balas alahan berlaku dalam tempoh enam bulan selepas terapi tamat.

Seorang kanak-kanak dalam kumpulan plasebo menunjukkan pengurangan simptom yang sama.

Enam bulan selepas rawatan, kanak-kanak yang menunjukkan pengurangan simptom boleh bertolak ansur dengan dos yang bersamaan dengan 16 biji kacang tanah.

Selain itu, 20 kanak-kanak lain yang menerima serbuk kacang tanah dilabel sebagai "desensitised", bermakna mereka mempunyai tahap alahan yang lebih tinggi, tetapi tidak termasuk dalam kumpulan yang menunjukkan pengurangan simptom.

Mereka boleh bertolak ansur dengan dos bersamaan antara enam hingga 12 biji kacang tanah dalam tempoh enam bulan selepas rawatan tamat.

Kanak-kanak paling muda dalam kajian tersebut menunjukkan pengurangan simptom yang paling kerap, dengan hasil kajian terbaik adalah terhadap bayi-bayi di bawah 12 bulan.

Kajian itu dijalankan di bawah pengawasan ketat dan suntikan adrenalin diberikan kepada 21 kanak-kanak semasa tempoh berkenaan. — AFP

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

alahan, kacang tanah, kajian, simptom, plasebo, dos