KUTIPAN awal menerusi langganan filem dokumentari konsert, Siti: Are You Ready bakal disumbangkan kepada mangsa banjir di negara ini.
Perkara itu dinyatakan oleh penyanyi nombor satu Malaysia itu sendiri, Datuk Seri Siti Nurhaliza pada malam tayangan perdana filem itu di Kuala Lumpur pada Rabu.
Menurut Siti, ia merupakan salah satu usaha dari pihaknya dan penerbit bersama Shiraz Projects untuk membantu mereka yang ditimpa musibah banjir.
"Saya harap dengan sumbangan ini, ia dapat membantu meringankan beban mereka yang ditimpa musibah banjir ketika ini," katanya.
Sementara itu, Penerbit Eksekutif Shiraz Projects, Shirazdeen Karim memberitahu, buat masa masa ini, jumlah dan amaun sumbangan masih dalam perbincangan.
Katanya, dia amat berbesar hati untuk menyumbangkan hasil kutipan tersebut bagi membantu meringankan mereka yang memerlukan.
Filem dokumentari konsert, Siti: Are You Ready merupakan kisah di sebalik tabir perjalanan seorang penyanyi nombor satu negara itu dalam merealisasikan konsert berskala besar, Nurhaliza On Tour yang berlangsung pada Februari dan Mac 2019.
Filem arahan pengarah muda, M.Azhar Rot dan Anz Izwan membawakan sudut pandang Siti Nurhaliza, bukan sahaja sebagai penyanyi, tetapi ibu, isteri dan orang kuat dalam menjayakan konsert mega di tiga buah negara, Malaysia, Indonesia dan Singapura ketika itu.
Bakal ditayangkan pada 30 Disember 2021, orang ramai boleh melanggan filem ini menerusi platform Astro First dan Astro On Demand. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram