'Apa nak pening harga sayur naik, petik saja depan rumah'


  • Hobi
  • Khamis, 09 Dis 2021

CHOON LENG melihat sayur bendi yang ditanam sendiri di kebum mini di halaman rumahnya di Georgetown. — Bernama

KENAIKAN harga sayur kebelakangan ini menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat, namun tidak bagi wanita warga emas, Soon Choon Leng, 73.

Balu dan ibu kepada empat orang anak itu berkata, mengusahakan kebun sayur mini di halaman kediamannya di Jalan Chor Sin Kheng, Air Itam, di Georgetown, Pulau Pinang, bukan sahaja terapi, tetapi juga tidak perlu berasa risau mengenai isu kenaikan harga sayuran di pasaran.

Dia turut menyifatkan hobinya yang gemar menanam pelbagai sayuran itu sebagai ‘penyelamat’ ketika harga bekalan bahan mentah itu tidak menentu di pasaran.

"Sebenarnya hobi menanam pelbagai sayur ini sudah lama saya usahakan, lebih kurang 30 tahun.

"Ada macam-macam jenis sayur yang ditanam antaranya labu air, bayam, sawi hijau, bawang merah, kacang botol, bendi, buah mempelam, bunga kantan, ulam raja dan lain-lain tanaman,” katanya kepada Bernama di kediamannya di Air Itam.

Menurut bekas pengajar persendirian itu, untuk mendapat hasil tanaman yang segar dan berkualiti, dia lebih gemar menggunakan baja kompos berbanding baja kimia dengan cara kitar semula sisa makanan seperti kulit kentang, dedaun seperti daun bunga kantan dan daun serai serta kulit telur.

"Saya sering melakukan kajian melalui pembacaan dan berkongsi ilmu dengan rakan-rakan mengenai cara menanam sayur dengan menggunakan baja semula jadi, kerana setiap tanaman mempunyai caranya yang tersendiri untuk dijaga,” katanya yang tinggal bersama anak perempuan bongsunya, Neoh Ai Hoon, 41.

Choon Leng berkata, perkara paling manis yang diperoleh daripada amalan bercucuk tanaman ialah dapat berkongsi hasil tanaman sesama jiran dan keluarga, selain mendapat sokongan daripada masyarakat sekeliling untuk terus berbakti kepada tanah dan alam sekitar.

"Ada ketika tanaman labu air membesar sehingga 12 kilogram dan saya berikan labu tersebut kepada jiran dan juga pekerja kebersihan yang lalu di hadapan rumah. Mereka amat gembira dapat berkongsi hasil tanaman ini, malah hati saya turut berasa tenang,” katanya.

Dia juga percaya bercucuk tanam patut dijadikan amalan kerana aktiviti itu dapat mewujudkan komuniti sihat dengan persekitaran bersih dan hijau di samping menjimatkan perbelanjaan isi rumah.

Menurut Choon Leng kesemua anaknya turut mempunyai kebun sayur mini di tempat tinggal masing-masing di Relau dan Sungai Ara.

"Seronok dapat tuai hasil sendiri sebab tidak perlu risau mengenai bekalan sayuran di pasaran. Sekarang orang jadi gelisah sebab harga sayur naik mendadak, jadi bercucuk tanamlah dari sekarang sebab hasilnya akan berbalik kepada kita,” nasihatnya. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram